Utusan Borneo (Sarawak)

PEKIDA terus pelbagai aktiviti bantu pupuk ukhuwah Islamiah

-

BINTULU: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) akan meneruskan pelbagai aktiviti yang mampu membantu memupuk ukhuwah Islamiah dan perpaduan pelbagai kaum dalam masyarakat di negeri ini, kata Yang Dipertua PEKIDA Negeri Sarawak Drahman Mohd Amin.

Katanya, visi dan misi PEKIDA jadi satu harapan untuk bersama mengekalka­n perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.

Beliau berkata dalam konteks kebajikan, jemaah PEKIDA perlu mempunyai kesedaran serta tidak menafikan kepentinga­n masyarakat luar bandar berbeza bangsa dan agama tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri PEKIDA Peringkat Negeri Sarawak oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri ( Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip di Bangunan Martabat RPR SPPS Sebiew semalam.

Katanya, ahli PEKIDA juga digesa supaya mempunyai kesedaran dalam ajaran keagamaan dan kepimpinan untuk mewujudkan masyarakat aman bahagia serta setia kepada pemimpin.

“Pertubuhan akan terus memupuk semangat berbakti kepada tanah air tercinta serta khidmat tulus ikhlas,” ujarnya.

Jelasnya, PEKIDA menempuh pelbagai pengalaman pahit namun telah menggunaka­n pendekatan damai dan bersabar untuk menangani persepsi masyarakat terhadapny­a.

Meskipun begitu katanya, sehingga kini keahlian PE- KIDA dari Kuching hingga ke Lawas telah mencecah 10,000 orang dan insya-Allah akan bertambah dari semasa ke semasa.

Menurutnya, dengan semangat seluruh jemaah PEKIDA, ia akan terus memberi kekuatan kepada mereka untuk terus bergerak dan berjuang untuk kebaikan ahlinya serta masyarakat negeri ini.

Beliau turut menyatakan mengenai rancangan pihaknya untuk mengadakan Majlis Ramah- Tamah Aidilfitri Peringkat Negeri di Miri pada tahun depan serta akan menjemput Yang di- Pertua Negeri atau Ketua Menteri untuk hadir sebagai tetamu utama majlis.

Dalam pada itu, Pengerusi PEKIDA Daerah Bintulu Ustaz Wan Sulaiman Wan Maulana berkata, PEKIDA Bintulu merancang program berbentuk kemasyarak­atan untuk penduduk setempat.

“Selain itu, kami juga sedia memberi kerjasama kepada kerajaan sekiranya bantuan kami diperlukan dalam beberapa perkara,” katanya sambil menghargai dan berterima kasih kepada Talib yang banyak memberi sumbangan dana dan membantu PEKIDA Bintulu terus berkembang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia