Utusan Borneo (Sarawak)

Tenaga solar UITM Dungun dijangka jimat 15% bil elektrik

-

DUNGUN: Universiti Teknologi MARA ( UiTM) Kampus Dungun akan merintis penggunaan sistem tenaga solar untuk penghasila­n tenaga elektrik bagi kegunaan kampus itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejurutera­an Elektrik, Dr Ermeey Abd Kadir berkata, UiTM kampus Dungun akan mula memasang sistem tenaga solar itu pada Oktober depan dan dijangka mula beroperasi pada Februari 2017.

“Dengan jangkaan penggunaan selama empat jam setiap hari, projek penjanaan solar Net Energy Metering ini akan dapat menjimatka­n sehingga 15 peratus bil elektrik UiTM kampus Dungun apabila beroperasi kelak.

“Secara puratanya, bil bulanan elektrik di kampus ini ialah sekitar RM300,000 dan kita akan membayar hanya 85 peratus sahaja kepada Tenaga Nasional Berhad apabila sistem solar mula beroperasi nanti,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri UiTM kampus Dungun di sini semalam.

Ketika ini, projek tersebut sudah siap hampir 50 peratus dan proses teknikal melibatkan beberapa pihak termasuk Kementeria­n Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sedang berjalan.

Ermeey berkata kos pemasangan solar itu dijangka menelan belanja kira- kira RM6 juta di mana peruntukan diberi oleh UiTM kampus Dungun ke arah penjanaan elektrik secara alternatif dan penjimatan secara langsung.

“Kapasiti sistem solar yang akan kami pasang ini ialah 1 megawatt dan keutamaan adalah untuk kegunaan di dalam kampus terlebih dahulu.

“Sekiranya ada baki penggunaan tenaga elektrik, barulah kami akan menjualnya kepada Tenaga Nasional Berhad,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia