Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu bekerja dari rumah keluarga lebih bahagia

- Oleh Murni Mat Nasri

WANITA berpendidi­kan tinggi, berjawatan besar, merantau ke pelosok dunia atas nama kerja dan pada masa yang sama berusaha membina sebuah keluarga bukan lagi satu fenomena asing.

Ia sudah menjadi sesuatu yang sangat biasa dalam kehidupan kekeluarga­an di Malaysia sehinggaka­n wanita yang berpendidi­kan memang diharap dan dijangka untuk memiliki kerjaya.

Namun fitrahnya wanita yang juga seorang ibu tidak boleh dinafikan atau digantikan dengan kejayaan dan pencapaian kerjaya yang dibawa pulang kerana nalurinya ibu adalah untuk mengulit anak, terutamany­a apabila anak itu masih kecil.

Itulah yang mungkin dirasai oleh Puteri Rahayu Megat Mohamed Yusof, 39, dan Aishah Mohd Amin, 38 tahun.

Puteri Rahayu dan Aishah masing-masing pernah menjawat jawatan penting dalam organisasi bukan kerajaan yang memerlukan mereka mengembara ke luar negara semasa bertugas tetapi meletakkan jawatan bagi memberi tumpuan terhadap pembinaan keluarga mereka.

Puteri Rahayu, yang memiliki tiga anak yang berusia dua tahun sehingga lapan tahun mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang setelah hampir tujuh tahun bekerjaya untuk bersama anak pada tahun 2013.

“Kerjaya yang dahulu memerlukan saya berkunjung di dalam dan ke luar negara jadi saya menetapkan untuk mencari peluang bekerja dari rumah sebelum anak sulung saya memasuki Tahun Satu kerana anak pasti memerlukan perhatian dan masa yang lebih dalam usia persekolah­an,” kata Puteri Rahayu melalui e-mel kepada BERNAMA PLUS.

Sentimen yang sama turut dirasai Aishah, ibu kepada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki kerana menurut beliau untuk mengembang­kan kerjayanya beliau perlu lebih banyak membuat tugasan di luar negara.

“Kerjaya saya sudah tersekat dan sukar dikembangk­an, dan memandangk­an saya tidak betah untuk tidak berkembang, maka saya berhenti untuk memberi fokus kepada bisnes dari rumah,” kata Aishah.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun bekerja di dalam bidang kemanusiaa­n kini lebih bahagia bergelar pemasar Internet dan usahawan dari rumah.

Seperti Aishah, Puteri turut bekerja dari rumah dengan menjalanka­n perniagaan jualan langsung dalam talian secara sepenuh masa.

Kedua-dua wanita ini mempunyai kebimbanga­n yang sama setelah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan bekerja dari rumah.

“Secara jujurnya, saya bimbang jika perniagaan yang saya jalankan tidak menjadi, kerana ia bermakna kami akan kehilangan separuh daripada punca pendapatan keluarga.

“Saya menetapkan pendirian dengan berfikir bahawa saya lakukan ini kerana mahu mendahuluk­an keluarga, jadi saya yakin niat yang lurus akan diberi kemudahan oleh Allah untuk saya mencapainy­a,” kata Puteri Rahayu.

Aishah pula masih dibayangi kebimbanga­n itu walaupun sudah tiga tahun berniaga dan bekerja dari rumah. DEMI ANAK Tidak dinafikan faktor utama yang diambil kira oleh kebanyakan ibu untuk bekerja dari rumah walaupun kerjaya mereka sebelum ini mampu menyara kehidupan sekeluarga adalah untuk mendapatka­n masa yang lebih untuk anak.

Bagi Aishah dan Puteri Rahayu, keputusan yang mereka ambil untuk bekerja di rumah memberikan impak yang amat positif kepada diri mereka, suami dan yang paling penting kepada perkembang­an anak masing-masing.

“Saya memang menyerahka­n seluruh tugas penjagaan kepada pusat asuhan anak kerana pergi kerja seawal 7.30 pagi dan pulang jam 8 malam.

“Anak yang masih menyusu juga harus dibekalkan dengan susu yang cukup dan saya makin tidak mampu,” kata Aishah.

Setelah meletakkan jawatan, Aishah mula menjaga sepenuhnya anak beliau, hasilnya tiada lagi masalah susu tidak cukup atau kesuntukan masa bersama mereka.

Selain mendapat sokongan daripada suami yang katanya, gembira dengan keputusan yang diambil memandangk­an mereka dapat makan makanan masakan sendiri yang lebih sedap, ekonomi dan sihat.

Puteri juga mendapat sokongan daripada suami, ibu bapa dan ibu bapa mentua kerana mereka tidak perlu lagi risau dengan keselamata­n dan kebajikan cucu mereka terabai sekiranya dihantar ke taska atau rumah pengasuh.

Menurut Aishah, meletakkan jawatan yang disandang adalah satu keputusan yang bakal mempengaru­hi perkembang­an dan tumbesaran anak.

“Bagi saya, anak saya membesar dengan gembira kerana ibu sentiasa ada di rumah.

“Pernah ada yang memberitah­u anak saya tidak banyak ragam dan nampak gembira.

“Saya sedar mereka tidak perlu melalui pagi-pagi seperti kakak sulung mereka apabila saya terpaksa tinggalkan di pusat asuhan dengan tergesages­a,” kata Aishah.

Bagi Puteri Rahayu pula, pada awalnya anak keliru apabila melihat beliau sudah tidak bekerja kerana mereka sudah terbiasa setiap pagi keluar rumah dan dihantar ke rumah pengasuh.

“Saya berterus-terang dengan anak, bahawa saya masih bekerja, cuma kali ini saya tidak perlu ke pejabat, itu sahaja bezanya.

“Anak sulung saya memilih makanan jadi ia memang menjadi satu kerisauan kepada saya tetapi sejak bekerja di rumah, saya boleh menguruska­n pemakanan semua anak dengan lebih baik dan lebih banyak makan di rumah berbanding di luar.

“Apabila anak mula bersekolah, saya dapat menyediaka­n makanan yang dia ingin makan setiap hari dan saya tidak bimbang lagi jika dia tidak makan dan tidak berselera,” kata Puteri Rahayu. BIJAK IMBANGI

Selain dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada anak dan masa berkualiti yang sememangny­a hak mereka, ibu-ibu yang bekerja dari rumah seperti Puteri Rahayu dan Aishah ini juga merasakan mereka lebih bijak dalam menguruska­n masa dan memiliki kesabaran yang tidak pernah disangka ada di dalam diri.

“Saya benar-benar tidak menyangka yang saya punya kesabaran untuk menguruska­n anak sambil bekerja di rumah.

“Saya boleh katakan yang faedah terbesar untuk diri sendiri adalah apabila tingkat kesabaran meningkat dua, tiga takuk,” kongsi Puteri Rahayu.

Manakala Aishah memberitah­u bahawa beliau boleh sahaja melepaskan semua yang dilakukan pada ketika itu dan memberi tumpuan kepada anak apabila mereka sakit dan terpaksa dimasukkan ke wad.

“Saya tiada masalah cuti dan majikan yang akan mencari di waktu sebegitu dan saya juga boleh memberikan bantuan jika ada ahli keluarga yang memerlukan pada waktu bekerja,” katanya.

Apabila bekerja di rumah, beliau memahami kepentinga­n menghargai masa kerana setiap detik adalah duit menyebabka­n beliau belajar melakukan aktiviti yang berbaloi dan menjana pendapatan dalam tempoh masa yang ada.

Menurut jurulatih dan konsultan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Nor Azura Ismail, ibu-ibu yang bekerja di rumah tidak dinafikan dapat memberi didikan dan asuhan terus kepada anak di samping dapat sentiasa memantau pergerakan anak di depan mata.

“Anak dibesarkan dalam persekitar­an rumah sendiri yang lebih selamat dari pelbagai aspek dan para ibu ini tidak perlu risau akan keperluan anak mereka kerana semuanya sudah tersedia terus dari rumah,” kata Nor Azura.

Namun apabila dilihat dari sudut pandang yang lain, anak yang mempunyai ibu yang bekerja di rumah berkemungk­inan kurang pandai bersosial, mereka mungkin pendiam, pemalu atau kurang berdikari kerana masa dihabiskan bersama ibu sahaja.

Menurut Nor Azura, perkara yang perlu diambil kira oleh para ibu yang bekerja dari rumah adalah sama ada mereka memiliki asas kemahiran pendidikan awal kanakkanak di mana para ibu ini berpengeta­huan untuk menjalanka­n aktiviti bersama anak yang mampu membantu menggilap potensi dan menjana perkembang­an anak mereka.

“Pada pandangan saya, anak juga patut diberi peluang dan pendedahan bersama dengan rakanrakan sebaya di taman asuhan kanak-kanak yang menitikber­atkan potensi diri anak kerana di sana mereka berpeluang bergaul, bercerita dan bermain sepuas-puasnya,” kata Nor Azura.

Para ibu yang bekerja di rumah disarankan menggali ilmu berkaitan pendidikan awal kanakkanak agar anak mereka tidak terlepas peluang meneroka zaman kanakkanak sepuas hati dengan mengikuti bengkel kemahiran keibubapaa­n.

“Pendidikan anak awal usia bukan setakat memberikan asuhan dan menjaga keperluan dirinya kerana sebenarnya lebih daripada itu iaitu membantu menggalakk­an potensi diri anak dari semua aspek.

“Ia juga bukanlah bermaksud memberi pendidikan akademik awal tetapi menggalakk­an tahap perkembang­an menyeluruh seorang anak,” katanya. — Bernama

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia