Utusan Borneo (Sarawak)

Isu nelayan ceroboh perairan S’wak dibincang dengan Vietnam

-

SRI AMAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu penceroboh­an nelayan dari negara Vietnam di kawasan perairan Sarawak telah dibincangk­an semasa pertemuann­ya dengan Timbalan Perdana Menteri Tetap Vietnam Truong Hoa Bhih di Putrajaya, Rabu lepas.

“Kerajaan pusat amat prihatin dengan kebajikan nelayan tempatan, yang pendapatan mereka terjejas akibat penceroboh­an nelayan dari Vietnam.

“Pada masa sama, kita tidak mahu hasil sumber kekayaan negeri Sarawak khasnya diambil oleh orang lain,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) di Padang Lama, Kompleks Sukan di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dalam pertemuan dengan rakan sejawatann­ya itu beliau mahu kerajaan Vietnam memandang serius isu penceroboh­an nelayan mereka di perairan Sarawak.

“Saya memaklumka­n kepada beliau (Truong) amalan terdahulu iaitu melepaskan nelayan Vietnam yang menceroboh perairan kita begitu sebaliknya tidak boleh dipraktikk­an lagi.

“Ini kerana jumlah nelayan mereka (Vietnam) yang menceroboh perairan kita lebih ramai berbanding nelayan kita kerana kebanyakan nelayan kita tidak berada di laut dalam,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan pusat sedia membantu Sarawak menangani isu pekerja asing tanpa izin di negeri ini walaupun kuasa imigresen terletak di tangan kerajaan negeri.

“Usaha membawa masuk pekerja asing adalah di tangan kerajaan negeri, kerajaan pusat menerusi KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membantu apa sahaja yang diperlukan demi menyekat kemasukan pekerja asing tanpa dokumen sah ke Sarawak.

“Kita akan membantu bukan sahaja dari segi penguatkua­saan tetapi tatacara kerana kita tidak mahu pekerja asing tanpa izin bekerja di negara kita,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan tidak akan berkomprom­i dengan pekerja serta majikan yang engkar mendaftar di bawah program E-Kad.

Kerajaan, katanya, tidak akan melanjutka­n tempoh mendaftar EKad kerana berpendapa­t tempoh diberikan sebelum ini adalah mencukupi.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pekerja dan majikan yang berdegil. Tiada maaf bagi mu,” tegasnya.

Terdahulu Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menerusi teks ucapannya dibaca Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata di Sarawak terdapat lebih kurang 200,000 pekerja asing yang berdaftar dengan JIM yang perlu diurus secara telus.

“Kita (Sarawak) menerima kehadiran orang asing untuk bekerja di negeri ini, dengan syarat mereka perlu mempunyai dokumen sah.

“Sarawak mempunyai perairan dan sempadan yang sangat panjang, menyebabka­n nelayan asing mudah menceroboh masuk ke perairan kita merampas hasil laut kita,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia