Utusan Borneo (Sarawak)

Undi Bumiputera jadi penentu kepada BN merampas Stampin

-

KUCHING: Undi Bumiputera menjadi penentu kepada Barisan Nasional (BN) merampas semula Parlimen Stampin daripada pembangkan­g (Parti Tindakan Demokratik - DAP) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia kerana terdapat hampir 50 peratus pengundi Bumiputera di konstituen­si yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Batu Kitang dan Kota Sentosa itu.

“Di DUN Batu Kitang sahaja, ada kira-kira 40 peratus pengundi Bumiputera dan DUN Batu Kawah 39 peratus.

“Jika semua pengundi Bumiputera di dua DUN ini turun mengundi calon BN, saya yakin kita dapat memenangi semula Parlimen Stampin,” katanya ketika ditemui pada Majlis RamahTamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Batu Kitang di Kampung Haji Baki di sini, semalam.

Turut hadir ADUN Batu Kawah Datuk Dr Sim Kui Hian dan Ketua Cawangan PBB Batu Kawah Datuk Ahmad Ibrahim.

Justeru, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ketua Cawangan PBB Batu Kitang itu berkata pihaknya akan terus mendekati pengundi Bumiputera di konstituen­si berkenaan yang merupakan sebahagian dalam formula yang telah digunakan di DUN Batu Kawah dan DUN Batu Kitang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang lepas.

Katanya formula tersebut telah terbukti berkesan sehingga membolehka­n BN berjaya menawan DUN Batu Kawah daripada DAP selain memenangi kawasan DUN baharu, Batu Kitang.

“Saya berharap apa yang dicapai di DUN Batu Kitang dan DUN Batu Kawah pada PRN lepas akan dibawa ke Parlimen Stampin pada PRU nanti, iaitu pengundi-pengundi Bumiputera mempunyai kepercayaa­n dan yakin mereka akan dapat dibantu oleh pemimpin BN,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata kejayaan untuk merampas semula Parlimen Stampin juga hanya akan dapat dicapai jika Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan PBB terus mengukuhka­n kerjasama seperti yang dilakukan dalam PRN lepas, dalam PRU nanti.

Secara tradisi, kerusi Parlimen Stampin adalah ditandingi oleh calon SUPP.

Pada PRU13, calon DAP Julian Tan Kok Ping telah memenangi kerusi tersebut yang disandang oleh Datuk Yong Khoon Seng daripada SUPP.

Julian yang memperoleh­i 41,663 undi menang dengan majoriti 18,670 undi menewaskan Yong yang memperoleh­i 22,993 undi dan calon STAR, Lina Soo yang sekadar meraih 239 undi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia