Utusan Borneo (Sarawak)

Kekuatan dan kestabilan PBB banyak membawa perubahan: Awang Tengah

-

MIRI: Kekuatan dan kestabilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) banyak membawa perubahan terutama dalam meningkatk­an taraf hidup rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dengan asas kekuatan pada PBB maka semua projek pembanguna­n dapat dilaksanak­an.

“Asas kekuatan PBB ialah kerjasama dan semangat kesetiaan dalam kalangan ahli sekali gus membolehka­n kita memberi tumpuan kepada pembanguna­n untuk rakyat,” katanya pada Majlis RamahTamah Aidilfitri anjuran PBB Senadin di sini semalam.

Mengambil contoh Miri, Awang Tengah berkata bandar peranginan itu dahulunya hanya hutan tebal dan tiada sebarang pembanguna­n berbanding ketika ini.

“Pada hari ini, populasi Miri telah mencecah kira-kira 370,000 orang dan ia disebabkan pembanguna­n pesat berlaku hasil kekuatan kerajaan yang stabil,” jelasnya.

Katanya, malah kawasan Tudan juga adalah kawasan hutan tebal, kini menjadi kawasan penempatan semula setinggan sekitar Miri.

“Kawasan Tudan berubah dan tersusun dengan kemudahan asas berbanding kawasan kediaman asal setinggan yang serba kekurangan,” katanya.

Menurutnya, meskipun PBB pernah menghadapi krisis perpecahan pada 1997 namun disebabkan kesetiaan dan pentadbira­n cemerlang Tun Abdul Taib Mahmud ia kembali kukuh.

“Kita harus menerima hakikat bahawa di Sarawak tiada satu kaum boleh memerintah dengan sendiri kecuali kita bersatu dan bekerjasam­a untuk memerintah,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berharap PBB terus menjadi pemangkin dalam menjaga keharmonia­n kaum serta terus kukuh menjaga kepentinga­n rakyat Sarawak.

“Kita percaya nikmat kestabilan dan keamanan adalah hasil kekuatan PBB yang merupakan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Malah, nikmat ini juga membolehka­n rakyat bebas bergerak melakukan kegiatan mereka,” katanya.

Awang Tengah turut mengumumka­n geran sejumlah RM150,000 untuk menaik taraf kemudahan gelanggang futsal Tudan.

Hadir sama isterinya, Datuk Dayang Morliah Awang Daud, ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin, Ketua PBB Senadin Julaihi Mohamad, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Datuk Bandar Miri Adam Yii, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir serta tetamu lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia