Masyarakat perlu peka dengan punca kebakaran
Kebakaran ibarat malapetaka kepada mangsa yang bukan sahaja kehilangan rumah, harta malah nyawa
LIDONG, Betong: Masyarakat perlu peka dengan punca yang boleh menyumbang kepada kebakaran bagi meminimumkan ancaman terhadap kediaman masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata kes kebakaran membabitkan rumah panjang dan kampung ibarat satu mala petaka terutama kepada mangsa yang bukan sahaja kehilangan tempat berteduh dan harta benda malah nyawa.
“Sebab itu, saya kerap kali mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang boleh menyumbang kepada ancaman kebakaran kerana mencegah lebih baik daripada mengubati kerana untuk bangkit selepas kediaman terbakar sangat memakan masa serta membabitkan wang yang cukup banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta PIBG Sekolah Kebangsaan ( SK) Issu Bangat di dewan sekolah itu semalam.
Katanya, sejak menjadi wakil rakyat di konstituensi itu sejak 2006, beliau telah berhadapan dengan lebih lima kes kebakaran membabitkan rumah panjang antaranya Rumah Bulie, Lidong, Rumah Irak, Merindun dan Rumah Christopher, Pais.
“Kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan rumah panjang menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
“Sehingga kini, kita lihat walaupun kejadian sudah lama berlalu namun ada antara rumah panjang itu masih belum siap sepenuhnya seperti Rumah Bulie dan Christopher.
“Justeru, saya sangat menyokong usaha yang dimainkan oleh pihak bomba yang kerap mengadakan program pencegahan awal kebakaran, seminar selain menubuhkan unit bomba komuniti di setiap rumah panjang,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Rayong menyarankan pihak bomba meningkatkan keupayaan terutama pada jentera memadam kebakaran agar dilengkapi peralatan memadam api secukupnya selain dapat membawa bekalan air secukupnya.
“Bukan mahu memperlekeh keupayaan pihak bomba kerana saya sendiri pernah melihat betapa sukarnya mereka memadamkan kebakaran di Rumah Christopher dulu apabila tekanan air yang dibawa jentera mereka tidak berupaya melawan api...ibarat air yang dikeluarkan oleh saliran ‘hose’ biasa sahaja,” katanya yang menceritakan kebetulan men- gadakan satu program rakyat di lokasi berhampiran dan terus ke rumah panjang itu bersama Residen Betong ketika itu Datu Romie Sigan sebaik dimaklumkan tentang kebakaran tersebut.
Tambahnya, masyarakat rumah panjang harus menggembleng tenaga bersama AJK rumah panjang dan bomba dalam mempelajari asas memadam dan mengawal api dari terus merebak sementelah ketibaan jentera pemadam api.
Menurut Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu lagi, beliau pernah mengutarakan isu ketiadaan balai bomba dan penyelamat di Engkilili pada Persidangan DUN 2006 dan 2007 namun ditolak oleh kementerian berkaitan.
“Menyedari Balai Bomba Sri Aman dan Betong agak jauh dari Engkilili memaksa saya mengutarakan isu tersebut namun ditolak oleh kementerian berkaitan dengan alasan Engkilili tidak layak kerana berstatus daerah kecil.
“Ini pada saya tidak masuk akal kerana api yang memusnahkan kediaman penduduk tidak mengira lokasi dan jenis daerah, justeru saya berharap agar satu balai bomba dan penyelamat dapat diwujudkan di sini,” katanya.
Berkenaan pendidikan, beliau menyambut baik usaha pihak Yayasan Sarawak menyampaikan baucar bantuan pesekolahan kepada pelajar terpilih di negeri ini.
“Saya menyokong usaha tersebut dan sangat berterima kasih kepada Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang kerana mewujudkan inisiatif ini dalam meringankan beban ibu bapa dalam memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak,” katanya.
“Kita harus sedar bahawa hanya menerusi pendidikan dapat mengubah masa depan diri dan keluarga pelajar tersebut seterusnya melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir untuk guna tenaga negara,” katanya.
Dr Rayong t urut menyokong rancangan kerajaan negerimahu mengutamakan mata pelajaran Bahasa Inggeris kerana menyedari prospek bahasa asing itu dalam semua aspek termasuk pergaulan, persaingan dalam memburu kerjaya, penyelidikan dan penerokaan pasaran antarabangsa.
“Sehubungan itu saya merancang mengadakan satu pertemuan dengan pihak Jabatan Pendidikan Daerah Betong dan Lubok Antu, pengetua dan guru besar selain guru untuk mencari mekanisme terbaik merealisasikan misi dan visi kerajaan,” tegasnya.
Terdahulu, Dr Rayong menyaksikan majlis penyampaian baucar Bantuan Yayasan Sarawak kepada 15 pelajar terpilih dari SK Issu Bangat, SK Ng Enteban dan SK Lidong.
Pada majlis sama beliau menyampaikan geran MRP kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Issu Bangat bernilai RM10,000 selain mahu pihak sekolah membuat perangkaan kos untuk menukar atap zink bilik darjah serta menaik taraf tempat meletak kenderaan di sekolah itu.
Turut hadir Guru Besar Rahman@Amit Sebai, Yang Dipertua PIBG yang baharu Matan Rijan, wakil Pejabat Daerah Betong SAO Ludan Lintong, wakil Pejabat Residen Bahagian Betong Evie Michelle Lamun, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Betong Awang Merali, Pegawai JASA Edwin Anchih, wakil pengarah Yayasan Sarawak Abang Azrianto Abang Bohari, Penguasa Bomba dan Penyelamat Betong Christopher Saing, kaunselor, tuai rumah serta ibu bapa pelajar.
Sebab itu, saya kerap kali mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang boleh menyumbang kepada ancaman kebakaran kerana mencegah lebih baik daripada mengubati kerana untuk bangkit selepas kediaman terbakar sangat memakan masa serta
banyak.” membabitkan wang yang Dr Johnical Rayong Ngipa ADUN Engkilili