Utusan Borneo (Sarawak)

Enam negara desak Qatar digugurkan hak penganjura­n

-

LONDON, England: Enam negara Arab yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar bulan lepas, dilaporkan menulis surat kepada badan induk bola sepak dunia (FIFA) untuk mendesak negara itu digugurkan dari hak penganjura­n Piala Dunia 2022 kerana mereka menganggap negara teluk itu menjadi ‘pangkalan pengganas’.

Laman sesawang The Local, melaporkan Arab Saudi, Yaman, Mauritania, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir, secara bersama menulis kepada FIFA untuk meminta menarik balik hak penganjura­n Qatar, di bawah Artikel 85 Kod FIFA, yang membenarka­n tindakan seperti itu sekiranya kecemasan.

Reuters tidak melihat salinan surat itu dan FIFA berkata Presiden FIFA, Gianni Infantino tidak ada menerima sebarang dokumen sedemikian.

“Presiden FIFA tidak ada menerima surat seperti itu dan kerana itu, tiada komen dapat dibuat,” kata seorang jurucakap FIFA.

“Seperti yang sudah dikatakan, FIFA sentiasa berhubung dengan Jawatankua­sa Penganjura­n Tempatan (LOC) Qatar 2022 dan Jawatankua­sa Tertinggi untuk Warisan dan Penyampaia­n dalam isu berkaitan Piala Dunia FIFA 2022,” tambah beliau.

Satu sumber yang mengenali kerajaan Qatar dalam hal ehwal Piala Dunia berkata, mereka menyedari Arab Saudi dan sekutunya mahu melakukan sesuatu tetapi mengesahka­n bahawa Qatar tidak ada menerima sebarang surat.

Orang yang berada di Amerika Syarikat yang mewakili dan menasihati kerajaan Arab Saudi juga masih belum menjawab persoalan kepada Reuters. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia