Utusan Borneo (Sarawak)

KERJASAMA TANGANI RABIES

JPBNS mesyuarat dengan Konsulat Jeneral Indonesia hari ini, perinci perkongsia­n maklumat, wujud zon penampan jika perlu.

- Oleh Patricia Gari

KUCHING: Sarawak akan menjalinka­n kerjasama dengan kerajaan Indonesia dalam usaha menangani wabak rabies di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu akan meliputi perkongsia­n maklumat berkaitan penyakit rabies di Sarawak dan Kalimantan, Indonesia serta mewujudkan zon penampan di sempadan negara jika perlu.

Beliau berkata, bagi tujuan itu Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dipengerus­ikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan mengadakan mesyuarat dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia Jahar Gultom hari ini.

“Usaha sama ini pertamanya, akan melibatkan perkongsia­n maklumat mengenai penyakit rabies di kedua-dua negara dan kemudian mewujudkan zon penampan jika perlu di sempadan. Namun perkara ini akan diperincik­an pada mesyuarat itu kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Operasi Pemvaksina­n Wabak Rabies di Dewan Masyarakat Batu 10, Kota Padawan di sini, semalam.

Hadir sama Uggah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (JPVS) Sarawak Dr Adrian Susin Ambud.

Menurut Abang Johari, berdasarka­n laporan kes rabies di Sarawak kebanyakan kawasan dijangkiti terletak di sempadan negara.

“Rekod menunjukka­n banyak kawasan yang dijangkiti (rabies) terletak di sepanjang sempadan negara.

“Ada kemungkina­n anjing dari sana masuk ke sini atau sebaliknya. Di sana juga ada kes penyakit rabies cuma kita tidak tahu sejauh mana ia serius. Sebab itu, rundingan dengan pihak Indonesia sangat penting,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama yang bakal dijalinkan antara Sarawak dan kerajaan Indonesia, Uggah berkata perkongsia­n maklumat dan pengetahua­n antara kedua-dua pihak amat penting.

Tambahnya, dengan adanya perkongsia­n maklumat ini, Sarawak dan Indonesia khususnya Kalimantan dapat saling memaklum antara satu sama lain jika ada kes jangkitan berlaku.

“Jika perlu zon penampan akan diwujudkan di sepanjang sempadan dikenal pasti dan kita akan memvaksin anjinganji­ng di sana serta sedaya upaya mengehadka­n pergerakan anjing di sempadan,” ujarnya.

Mengenai operasi pemvaksina­n di Dewan Masyarakat Batu 10, Uggah berkata ia merupakan zon penampan bagi mengelak jangkitan rabies merebak di bahagian Kuching.

“Ideanya ialah Pekan Siburan telah diisytihar sebagai kawasan rabies, ia tidak jauh dari bandar raya Kuching, maka kita mewujudkan zon penampan dengan harapan dapat mengekang penularan rabies ke kawasan lain selepas Siburan, sebab itulah kita buat di Batu 10 dan Batu 7.

“Bagi kes di Siburan, misalnya, seekor anjing liar didapati positif rabies, kita akan mengambil langkah pencegahan melebihi 10km radius dari kawasan dijangkiti kerana Kuching bandar yang besar,” jelasnya.

Pada sidang media itu juga, Abang Johari mengumumka­n peruntukan tambahan berjumlah RM500,000 bagi membeli peralatan dan vaksin untuk petugas terlibat dalam kempen pencegahan rabies termasuk pemvaksina­n wabak rabies.

Selain itu, kerajaan pusat melalui Kementeria­n Kesihatan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2,488,673 bagi pembelian vaksin untuk manusia.

Sementara itu, kenyataan akhbar dikeluarka­n JPBN semalam mengatakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mula melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan di bahagian Sri Aman.

Ia berikutan pemakluman terdapatny­a seekor anjing yang positif rabies di Rumah Janta, Pungu Mawang, Sri Aman.

Secara kumulatif dari 2 hingga 20 Julai 2017, di Serian dan Sri Aman 219 kes gigitan baharu dikesan, iaitu 29 kes di Serian dan dan 26 kes lagi di Sri Aman dicatatkan semalam.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku sejak 1 April hingga semalam berjumlah 516 kes. Seramai 361 orang telah menerima suntikan vaksin.

Sehingga semalam juga, Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) telah mengisytih­arkan 18 kawasan wabak rabies iaitu Kampung Krait, Paon Rimu, Paon Rimu Bakong, Remun, Lebor, Seroban, Tangga, Ampungan, Mentong Berawan, Mentong Silaga, Engkabang, Tampek Sumpas, Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian, Batu 45 Jalan Kuching- Serian, Temong Mura (Tebedu) dan Rumah Janta Pungu Mawang (Sri Aman).

Bagi kes haiwan didapati positif rabies sehingga semalam ialah 32 kes iaitu 26 anjing dan kucing enam.

 ??  ?? SAKSI: Abang Johari (dua kanan) melihat dengan dekat pegawai veterinar menyuntik vaksin pada seekor anjing semasa operasi pemvaksina­n wabak rabies di Dewan Masyarakat Batu 10, Kuching semalam. Turut kelihatan Uggah (tiga kanan) dan Dr Sim (empat kanan).
SAKSI: Abang Johari (dua kanan) melihat dengan dekat pegawai veterinar menyuntik vaksin pada seekor anjing semasa operasi pemvaksina­n wabak rabies di Dewan Masyarakat Batu 10, Kuching semalam. Turut kelihatan Uggah (tiga kanan) dan Dr Sim (empat kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia