Utusan Borneo (Sarawak)

Bolt akan sertai acara 100 dan 4x100 meter di London sebelum bersara

-

MONACO, Perancis: Usain Bolt akan berlari dalam acara 100 dan 4x100 meter pada kejohanan dunia di London bulan hadapan, kejohanan terakhir beliau sebelum bersara, menurut pengesahan jaguh pecut dunia dari Jamaica itu Rabu lepas.

Bolt, pemenang lapan pingat emas di Sukan Olimpik dan 11 pingat emas pada kejohanan dunia, mahu menamatkan kerjaya gemilang beliau dengan bergaya pada kejohanan yang bermula dari 4 hingga 13 Ogos.

“Sasaran saya ialah untuk menang (di London). Saya hanya mahu bersara dengan kemenangan,” kata Bolt semasa satu sidang media di Monaco menjelang kejohanan Liga Permata yang bermula hari ini.

Pelari berusia 30 tahun itu mendedahka­n beliau tidak akan mempertaha­nkan acara 200 meter pada kejohanan dunia dan ini bermakna beliau tidak akan bersaing dengan jaguh Afrika Selatan, Wayde van Niekerk, atlet yang Bolt bayangkan akan menggantik­an tempatnya sebagai jaguh pecut dunia.

“Saya fikir ia adalah apa yang paling mengecewak­an dalam kerjaya saya sekarang,” kata Bolt. “Beliau hadir agak lewat dan saya tidak dapat bersaing dengan beliau kerana beliau adalah antara yang terbaik ketika ini.”

Beliau menambah: “Saya tidak pernah takut, saya hidup untuk bersaing. Tetapi bagi saya, ia terlalu lewat sekarang, saya di penghujung kerjaya. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku.”

Bolt akan bertanding dalam acara 100 meter di Monaco – perlumbaan ketiga beliau tahun ini selepas penampilan di Kingston dan Ostrava – di mana beliau berharap untuk melakukan larian di bawah 10 saat.

“Saya berasa selesa, musim ini bermula perlahan untuk saya. Saya mempunyai beberapa kesedihan selepas rakan saya Germaine (Mason) meninggal dunia,” kata Bolt ketika merujuk kematian atlet lompat tinggi British, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2008, dalam satu kemalangan motosikal di Jamaica pada bulan April.

“Saya agak ketinggala­n dari jadual latihan tetapi saya berlatih dengan gigih. Saya berasa lebih cergas selepas beberapa hari yang lalu kerana saya berjumpa dengan doktor saya di Jerman dan saya juga berlatih dengan bagus, jadi ia satu petanda yang baik.”

Bolt berasa yakin beliau mungkin tidak akan berlumba lagi selepas kejohanan dunia tetapi mengakui beliau mahu terus terlibat dengan sukan olahraga.

“Saya sudah melakukan segala-gala yang saya mampu dalam sukan ini,” kata beliau. — AFP

 ??  ?? BERSAHAJA: Bolt tiba untuk menghadiri sidang media di Monaco Rabu lepas.
BERSAHAJA: Bolt tiba untuk menghadiri sidang media di Monaco Rabu lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia