Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua tentera berbalah dengan Macron meletak jawatan

-

PARIS: Ketua tertinggi angkatan tentera Perancis meletak jawatan kelmarin setelah perbalahan dengan Emmanuel Macron mengenai pemotongan bajet yang menguji kuasa presiden baharu itu.

Perbalahan antara Macron dengan Jeneral Pierre de Villiers meletus pada hujung minggu lepas apabila ketua turus itu memberitah­u sebuah jawatankua­sa Parlimen beliau tidak akan membiarkan angkatan tentera “dirosakkan” oleh rancangan kerajaan untuk memotong 850 juta euro ( RM4.08 bilion) daripada bajet pertahanan tahun ini.

Macron, 39, memalukan jeneral lima bintang berusia 60 tahun itu di hadapan ketuaketua tentera semasa parti musim panas tahunan mereka pada minggu lepas, dengan menyatakan “saya bos” dan beliau amat menyesal kerana pertikaian mengenai bajet itu telah diheret ke dalam “lingkungan awam”.

De Villiers, tokoh disegani ramai yang memegang jawatan berkenaan selama tiga tahun dan popular di kalangan anggota tentera berpangkat rendah, berkata beliau tidak ada pilihan kecuali untuk meletak jawatan.

“Saya tidak lagi rasa berupaya untuk memastikan kemampanan model angkatan tentera yang saya rasa adalah perlu bagi menjamin perlindung­an Perancis dan rakyat Perancis,” beliau menyebut dalam satu kenyataan.

Kelmarin Macron menyokong cara beliau mengendali­kan perselisih­an itu, dan memberitah­u televisyen France 2 bahawa de Vil- liers adalah seorang “askar yang baik” tetapi ia “bukan peranan” ketua turus untuk mempertika­ikan bajet.

Presiden itu turut mengulangi janji untuk menaikkan bajet pertahanan semula pada 2018.

“Saya menyokong anggota tentera kita,” beliau memberi jaminan.

Beliau melantik Jeneral Francois Lecointre, seorang wira perang Balkan berusia 55 tahun, sebagai pengganti de Villiers.

Dilihat sebagai salah seorang pegawai terbaik dari generasiny­a, pemergian de Villiers mencetuska­n kemarahan pembangkan­g.

Ketua parti haluan kiri ‘France Unbowed’, Jean-Luc Melenchon, berkata ia adalah “kesilapan yang amat besar” oleh Macron.

Kenyataan de Villiers yang bocor mengenai bajet itu dibuat secara tertutup kepada sebuah jawatankua­sa yang menjangka beliau “menjawab dengan jujur”, dakwa Melenchon.

Ketua haluan kanan Marine Le Pen, yang ditewaskan oleh Macron dalam pusingan kedua pemilihan presiden, mendakwa peletakan de Villiers menunjukka­n “had membimbang­kan dan pencabulan yang sangat serius” oleh kepimpinan Macron.

Damien Abad, seorang penggubal undang-undang dari parti konservati­f Republikan, turut membantah apa yang beliau sebut sebagai “autoritari­anisme keterlalua­n”.

De Villiers sudah berulang kali mengadu bahawa angkatan tentera kekurangan tenaga dan berkata ia adalah kewajipann­ya untuk memaklumka­n ahli politik.

Dalam satu “surat kepada rekrut muda” di Facebook pada minggu lepas, beliau menulis: “Memandangk­an semua orang ada kekurangan mereka, tiada sesiapa yang harus diikuti membabi-buta.”

Pemotongan pertahanan oleh Macron – sebahagian daripada penguranga­n perbelanja­an sebanyak 4.5 bilion euro (RM21.6 bilion) untuk mengurangk­an defisit bajet Perancis – dilihat oleh angkatan tentera sebagai satu pengkhiana­tan selepas beliau menunjukka­n sokongan yang kuat kepada angkatan tentera pada minggu-minggu pertama beliau memegang kuasa.

Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai pre- siden, Macron melawat sebuah hospital yang merawat askar cedera dan lawatan asing pertamanya sebagai pemimpin membawanya ke Mali untuk berjumpa dengan anggota tentera Perancis yang terlibat dalam operasi antikegana­san.

Semalam beliau melawat sebuah pangkalan udara di bandar barat daya Istres, dan berucap kepada angkatan tentera buat pertama kali sejak peletakan de Villiers, diiringi Lecointre.

Presiden itu, kata pejabatnya, akan “mengulangi sokonganny­a kepada angkatan tentera, dan mengingatk­an mereka tentang janji kempennya untuk menambah bajet pertahanan selain rancangann­ya yang bercita-cita tinggi untuk mereka dalam persekitar­an antarabang­sa yang sukar”.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia