Utusan Borneo (Sarawak)

Chidzambwa merombak semula skuad Zimbabwe

-

JOHANNESBU­RG: Jurulatih Zimbabwe, Sunday Chidzambwa, telah menggugurk­an pemain untuk perlawanan kelayakan Kejohanan Negara Afrika menentang Namibia pada hari ini (Ahad).

Bekas pemain pertahanan tengah dan kapten pasukan kebangsaan itu disanjung sebagai wira negara selepas dia membimbing negaranya untuk mencatatka­n kemenangan dalam kejohanan selatan Afrika Piala COSAFA pada bulan ini.

Namun pasukan ‘Pahlawan’ itu mengalami kekalahan mengejut 1-0 di tempat lawan kepada Namibia pada hujung minggu lepas pada rangka pertama perlawanan kelayakan pusingan kedua untuk Kejohanan Negara Afrika 2018 di Kenya.

Chidzambwa bertindak ekoran kekalahan di Windhoek itu dengan membuang empat pemain dan memanggil 11 apabila dia menambah skuadnya kepada 25 pemain untuk perlawanan di Stadium Sukan Negara di Harare.

Dia percaya pasukannya memandang rendah pasukan lawan yang tidak bermain secara kompetitif selama lebih setahun kerana pergaduhan di antara persatuan bola sepak Namibia dengan para pegawai liga.

”Saya rasa pemain saya sedikit sambil lewa kerana mereka gagal untuk bermain seperti biasa,” katanya kepada pemberita di ibu negara Zimbabwe.

“Kami sudah meningkatk­an saiz skuad untuk memberi lebih banyak pilihan kepada kami dan pada waktu yang sama menggugurk­an beberapa pemain dan membawa masuk pemain lain. Saya harap rombakan ini akan memberi kesan yang diingini.”

Jurulatih Namibia Ricardo Mannetti, seorang lagi bekas jurulatih dan bintang pasukan kebangsaan, menegaskan pasukannya masih pasukan bukan pilihan walaupun memenangi rangka pertama tanpa dibolosi gol.

Kelayakan bagi Kejohanan Negara Afrika – satu pertanding­an dwitahunan yang terbatas kepada pemain bola sepak yang bermain di negara sendiri – diadakan pada peringkat serantau untuk mengurangk­an kos dan masa perjalanan.

Satu lagi perlawanan zon selatan yang menarik melagakan Lesotho dengan Comoros di Maseru.

Uganda dan hos Kejohanan Negara Afrika 2016 Rwanda dijangka mara dalam zon timur selepas mencatatka­n keputusan seri di tempat lawan, masing-masing dengan Sudan Selatan dan Tanzania.

Sudan melawat Burundi untuk rangka pertama yang tertangguh dan Habsyah menang di darat apabila pasukan kebangsaan Djibouti dibubarkan ekoran kekalahan 5-1 dalam rangka pertama di negara sendiri.

Di bahagian barat, Benin, Guinea, naib juara 2016 Mali, Mauritania dan Senegal menikmati kelebihan bermain di tempat sendiri dan kemungkina­n besar akan muncul pemenang keseluruha­n. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia