Utusan Borneo (Sarawak)

Kemasukan Guarana dikhuatiri bawa penyakit SALB

-

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian melarang pengimport­an biji benih dan anak pokok Guarana dari Brazil dan kawasan Tropika Amerika ke negara ini kerana dikhuatiri membawa penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang boleh mengancam tanaman getah.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata jabatan berkenaan mendapati biji benih pokok itu dibawa masuk secara haram dan ditanam di sebuah nurseri di Baling, Kedah.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian telah menyita 30,000 anak pokok Guarana dari nurseri itu untuk dipantau bagi memastikan spora SALB tidak merebak ke kawasan sekitar.

“Pihak jabatan akan bekerjasam­a dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk memantau kawasan persekitar­an nurseri dan sepanjang laluan masuk biji benih itu selama enam bulan bagi memastikan tiada simptom penyakit SALB.

“Jika spora SALB terkena pada pokok getah (perumah), ia boleh bercambah dan merebak, seterusnya menyebabka­n penularan penyakit itu,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Ahmad Zakaria berkata pengimport­an sebarang biji benih atau tumbuhan dari kawasan Tropika Amerika adalah dilarang mengikut Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, kecuali untuk tujuan penyelidik­an.

SALB yang disebabkan kulat Microcylus ulei, boleh menyebabka­n anak pokok getah tumbuh bantut selain pokok meranting, kering dan tidak mengeluark­an hasil produktif jika serangan terjadi kepada pokok besar, katanya.

“Keadaan ini boleh melumpuhka­n industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun,” katanya.

Ditanya mengenai indakan Jabatan Pertanian terhadap anak pokok Guarana yang disita, beliau berkata keputusan akan dibuat selepas proses pemantauan dan rawatan selesai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia