Utusan Borneo (Sarawak)

Semua OBP dibatal ekoran kebakaran hutan Indonesia

-

KUCHING: Kerajaan negeri membatalka­n semua permit pembakaran terbuka (OBP) yang dikeluarka­n sebelum ini berkuat kuasa semalam berikutan insiden kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia.

Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata, semua permohonan baharu OBP juga masih dalam perhatian untuk diluluskan.

Selain itu, katanya, NREB akan melakukan pengesahan di lapangan yang terdapatny­a titik panas dan pasukan penguat kuasa di semua pejabat wilayah diarah siap siaga menghadapi sebarang kemungkina­n.

“Pagi ini (semalam) pegawai kami menghadiri mesyuarat di Putrajaya bersama Kementeria­n Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan di Malaysia yang mungkin akan berlaku ekoran kebakaran hutan di Aceh.

“Di peringkat negeri, NREB telah mula mengaktifk­an prosedur operasi standard (SOP) terhadap jerebu dengan membatalka­n semua OBP yang telah diluluskan sebelum ini dan KIV (dalam perhatian) semua permohonan baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Peter juga memberitah­u, NREB akan memantau dengan teliti dan menyebarka­n keadaan cuaca menerusi Bacaan Jerebu Harian (Daily Haze Watch) dari semasa ke semasa kepada umum.

Selain itu, katanya, program jangkauan mengenai langkah pencegahan jerebu berpunca daripada sumber tempatan atau kegiatan pembakaran terbuka dalam negeri akan dilakukan menerusi media.

“Kita tidak menolak kejadian jerebu merentasi sempadan akan berlaku jika aktiviti pembakaran meningkat di Kalimantan (Barat) terutama di sempadan Sarawak dan diburukkan lagi dengan tiupan angin yang membawa jerebu ke negeri ini,” ujarnya.

Menurut beliau, ketika ini Sarawak mengalami musim panas dan kering dengan ‘Fire Weather Index’ yang agak tinggi, jumlah hujan berkuranga­n serta beberapa titik panas dikesan di seluruh Sarawak dan sedikit berjerebu walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih di bawah bacaan 50.

Beliau menambah, keadaan panas dan kering itu diramal berlanjuta­n sehingga penghujung September ini.

Justeru, Peter mengingatk­an orang ramai agar mengurangk­an aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak keadaan bertambah buruk jika tiupan angin membawa jerebu dari sempadan ke Sarawak.

Petani mahu pun peladang tempatan, katanya, harus menangguh atau tidak melakukan pembakaran terbuka sekiranya tidak perlu jika keadaan bertambah buruk di lima wilayah Indonesia yang mengalami kebakaran hutan ketika ini.

Akhbar National Post pada Rabu lepas melaporkan kerajaan Indonesia mengisytih­arkan darurat di lima wilayah iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan ekoran pembakaran tanah gambut di situ.

Agensi Mitigasi Bencana Negara (Indonesia) juga berpendapa­t kebakaran itu berisiko merebak ke kawasan lain semasa musim kemarau tahunan jika langkah pencegahan tidak diambil.

National Post memetik jurucakap agensi itu Sutopo Purwo Nugroho berkata, 18 helikopter telah dikerah ke Sumatera dan Kalimantan bagi membantu memadamkan kebakaran.

Sutopo menambah, lima wilayah berkenaan diisytihar darurat berikutan jangkaan kebakaran bertambah buruk dan untuk mengurangk­an kepulan asap dihasilkan oleh tanah gambut jika terbakar.

Imej satelit menunjukka­n bahawa jumlah kebakaran meningkat daripada 150 pada Ahad kepada 179 pada Selasa lepas.

Terdahulu, darurat diisytihar­kan di daerah Aceh Barat ekoran peningkata­n keluasan tanah gambut yang terbakar kepada 70 hektar (170 ekar) dalam tempoh seminggu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia