Utusan Borneo (Sarawak)

KERTAS SIASATAN DIBUKA

SPRM serbu tiga pejabat disyaki terlibat dalam pembelian hotel lebih tinggi dari harga pasaran di Kuching.

- Oleh Agnes Tugong

Semua maklumat dan dokumen yang dirampas akan dibawa ke Pejabat SPRM di sini untuk siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam urusan pembelian hotel ini. Datuk Simi Abd Ghani Pengarah Bahagian Siasatan SPRM

KUCHING: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas pembelian sebuah hotel bertaraf empat bintang di sini oleh FELDA Investment Corporatio­n (FIC).

Menurut kenyataan media yang dikeluarka­n SPRM semalam, Ketua Pesuruhjay­a SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengarahka­n kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel tersebut yang disyaki dibeli dengan harga jauh lebih tinggi daripada pasaran.

Bagi tujuan itu, menurut kenyataan itu, serbuan serentak dilancar pada kira-kira jam 10 pagi semalam ke atas tiga pejabat di sini yang masing-masing terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Petanak dan Jalan Tun Abang Haji Openg.

Dalam serbuan tersebut, SPRM merampas dokumen-dokumen berkaitan yang dipercayai mempunyai maklumat berhubung pembelian hotel tersebut dan akan meneliti kesemua dokumen untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibat­kan FIC mengalami kerugian ratusan juta ringgit.

SPRM juga akan memanggil beberapa saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatka­n maklumat serta bukti kukuh sebelum tindakan lanjut diambil dalam masa terdekat.

Terdahulu, ketika dihubungi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani mengesahka­n serbuan ke atas tiga pejabat berkenaan yang masing-masing merupakan syarikat pemaju, ejen hartanah dan penilai harta.

“Serbuan ini dilakukan bagi mendapatka­n semua maklumat dan dokumen yang berkaitan dengan urusan pembelian hotel bertaraf empat bintang di bandar raya ini oleh FIC.

“Semua maklumat dan dokumen yang dirampas akan dibawa ke Pejabat SPRM di sini untuk siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam urusan pembelian hotel ini,” katanya.

Siasatan berhubung pembelian hotel di sini dibuat susulan daripada siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian hotel oleh FIC di London antara tahun 2013 dan 2015.

FIC ditubuhkan oleh FELDA pada 2013 sebagai usaha mempelbaga­ikan portfolio perniagaan agensi berkenaan, khususnya dalam pelaburan hartanah, perhotelan dan hospitalit­i.

 ??  ?? DZULKIFLI SERBU: Pegawai penyiasat SPRM membawa dokumen yang dirampas dari salah satu pejabat di Kuching yang diserbu semalam.
DZULKIFLI SERBU: Pegawai penyiasat SPRM membawa dokumen yang dirampas dari salah satu pejabat di Kuching yang diserbu semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia