Utusan Borneo (Sarawak)

Dua pembimbing haji iring jemaah haji Sarawak tahun ini

-

KUCHING: Jemaah haji Sarawak pada tahun ini akan diiringi dua pembimbing haji yang dilantik oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Menurut Yang Dipertua (YDP) MIS Datu Misnu Taha, dua pembimbing haji itu juga akan dibekalkan dengan pakaian seragam khas bertujuan untuk memudahkan para jemaah haji Sarawak mengenal pasti pembimbing mereka sekiranya memerlukan sebarang bantuan sepanjang melakukan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

“Pada tahun ini, jemaah haji kita adalah seramai 1,100 orang. Dua pembimbing haji ini dibiayai sepenuhnya oleh MIS dengan kerjasama Tabung Haji.

“Sebarang pertanyaan atau permasalah­an yang dihadapi oleh para jemaah haji di Mekah nanti, maka dua pembimbing yang kita hantar ini akan berperanan sebagai jurupandu mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaik­an pakaian seragam Pembimbing Ibadah Haji Majlis Islam Sarawak (PIHMIS) di Kompleks Baitulmal di sini, semalam.

Dua pembimbing haji tersebut ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dari Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan Ustaz Mohamad Sidek Arsad dan Pegawai Hal Ehwal Islam dari Jabatan Mufti Negeri Sarawak Razalie Husaini.

Antara lain, jelas Misnu, pembimbing haji tersebut bertanggun­gjawab kepada Pengurus Maktab di Mekah dan Madinah serta membantu para jemaah haji khususnya yang berada dalam keadaan uzur untuk menyelesai dan menyempurn­akan ibadah haji, umrah dan lain-lain.

“Kita berharap semua pergerakan dan urusan para jemaah haji kita termasuk dua pembimbing haji kita dipermudah­kan sepanjang berada di Tanah Suci Mekah.

“Kepada para jemaah haji Sarawak pula, untuk sebarang pertanyaan, permasalah­an dan kemusykila­n boleh terus berjumpa dan mendapatka­n bantuan daripada pembimbing haji ini yang mana mereka akan memakai pakaian seragam khas yang telah kita sediakan bagi memudahkan para jemaah,” jelasnya.

Bagi tahun ini, lima penerbanga­n disediakan untuk membawa seramai 1,100 jemaah termasuk dua pembimbing haji dari MIS ke Tanah Suci Mekah.

Penerbanga­n pertama akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuching (LTAK) pada 31 Julai (Isnin) ini, diikuti penerbanga­n kedua pada 1 Ogos, penerbanga­n ketiga pada 2 Ogos, penerbanga­n keempat pada 3 Ogos dan kemudian penerbanga­n terakhir pada 4 Ogos.

Kesemua jemaah dijadualka­n pulang ke tanah air bermula 19 September sehingga 25 September.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ismail Mohd Hanis, Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin dan Imam Besar Masjid Negeri Sarawak Ustaz Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia