Utusan Borneo (Sarawak)

Perunding pembanguna­n dipenjara dua tahun, denda RM1,000

-

KUALA LUMPUR: Seorang perunding pembanguna­n dana dihukum penjara dua tahun dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencuri telefon bimbit, menceroboh dan menyamar sebagai pegawai polis, Februari lepas.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhka­n hukuman itu terhadap Azmin Disa, 36, selepas dia mengaku bersalah melakukan ketigatiga kesalahan itu di Blok D, PPR Intan Baiduri, Kepong di sini, kira-kira jam 9 pagi, pada 17 Feb 2017.

Bapa dua anak itu didakwa mencuri sebuah telefon bimbit milik Muhammad Najmi Mohd Faudzi, 26, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda.

Azmin dihukum penjara dua tahun dan didenda RM1,000 bagi kesalahan mencuri, serta diperintah­kan menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan berpurapur­a sebagai pegawai polis telah memeriksa dengan menggeleda­h barang-barang milik Muhammad Najmi, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya.

Azmin juga didakwa melakukan penceroboh­an jenayah dengan memasuki bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman, mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau boleh didenda sampai RM5,000 atau kedua-duannya.

Bagi kesalahan menyamar sebagai anggota polis dan menceroboh, tertuduh dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan dan mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani kesemua hukuman penjara itu serentak dari tarikh tangkap pada 18 Feb 2017.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Syed Muhammad Adeeb Barakbah merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman minimum dengan alasan dia menanggung keluargany­a.

“Tertuduh juga memiliki Sarjana dalam Kajian Islam di sebuah universiti tempatan...mempunyai masa depan cerah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddi­n memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana ia adalah kesalahan serius. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia