Utusan Borneo (Sarawak)

Banduan ugut bunuh Obama kena tiga tahun

-

NEW YORK: Seorang banduan berusia 32 tahun dan juga mualaf dari Massachuse­tts dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun kerana mengugut untuk membunuh Barack Obama ketika beliau adalah presiden Amerika Syarikat (AS), umum pendakwa raya.

Alex Hernandez dijatuhkan hukuman pada Rabu lepas oleh hakim persekutua­n Indira Talwani selama 37 bulan, yang akan dijalani secara serentak dengan tempoh lima hingga lapan tahun yang dia sedang jalani bagi kesalahan dadah dan senjata api.

Dia mengaku bersalah pada Mei lepas ke atas tuduhan mengugut untuk membunuh dan mengakibat­kan bahaya fizikal terhadap ketua komander ketika itu.

Beberapa ejen telah mendapat maklumat pada 2015 bahawa Hernandez hendak membunuh Obama dan mendapatka­n dokumen perjalanan palsu bagi melarikan diri dari negara selepas itu, menurut pendakwa raya.

Dalam satu operasi serbuan kemudian di dalam penjara di mana dia dikurung, dia dikatakan telah memberitah­u seorang ejen yang menyamar bahawa dia ingin menyerang Rumah Putih dan telah mengkaji bagaimana menghasilk­an bahan letupan bagi “mencetuska­n kekecohan” di sekitar bangunan kerajaan.

Pendakwa raya memetik Hernandez sebagai menyatakan dia ingin menyasarka­n Obama kerana “beliau adalah orang yang memberikan arahan.”

Dia dikatakan menjelaska­n tentang serangan yang bakal dilakukan dengan menyatakan “saudaranya” telah berjuang bagi “negara khalifah di Timur Tengah” dan merungut bahawa kerajaan AS telah “menggambar­kan seperti mereka adalah orang jahat.”

Obama, anggota Demokrat, melepaskan jawatannya pada Januari 2017 selepas tempoh lapan tahun sebagai presiden kulit hitam pertama di AS. Beliau digantikan oleh Donald Trump, bilionair New York yang menjadi ahli politik Republikan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia