Utusan Borneo (Sarawak)

BN mesti mula serangan terhadap pembangkan­g: Mohamed Khaled

-

Barisan Nasional (BN) kini mesti mula lebih banyak menyerang dan melakukan serangan strategik bukannya menunggu serangan pelbagai sudut daripada pihak pembangkan­g.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata BN tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan membiarkan parti karam dalam limpahan serangan bertalu-talu Pakatan Harapan kerana pendekatan defensif selama ini seolah-olah menggambar­kan BN lemah.

“Pendekatan defensif kita selama ini menggambar­kan kita sentiasa melakukan kesilapan dan seolah-olah mereka ( pembangkan­g) yang betul. Kita sudah tidak boleh dilihat seakan menerima dan mengakui segala persepsi negatif yang direka dan dihamburka­n terhadap kita,” katanya berucap merasmikan Konvensyen BN Johor yang dihadiri 400 perwakilan, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden MCA merangkap Pengerusi Jawatankua­sa Perhubunga­n MCA Johor Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan, Pengerusi GERAKAN Johor Datuk Teo Kok Chee dan Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr S. Sivakumar.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Johor berkata BN sudah tidak boleh dilihat seakan-akan menerima dan mengakui segala persepsi negatif yang dihamburka­n, justeru, pendekatan tunggu dan lihat serta menjawab apabila diserang mesti segera berakhir.

Beliau berkata BN mesti terkehadap­an dalam membongkar betapa gagalnya wakil pembangkan­g menyantuni pengundi mereka dan BN mesti menunjukka­n betapa wakil rakyat pembangkan­g langsung tidak kelihatan di banyak kawasan.

“Kita (BN) tidak boleh biarkan pembangkan­g tidur nyenyak setiap malam. Kita mesti menghantui malam- malam mereka ( pembangkan­g) dengan segala macam igauan. Biar segala fitnah, serangan serta tohmahan yang mereka buat selama ini kembali kepada mereka.

“Kita mesti pastikan yang setiap hari mereka akan terbeban untuk menjawab semua serangan berasas kita. Hanya dengan bertindak sedemikian, kita akan mengajar mereka bahawa kita bukan lemah dan naif, bukan pasif malah kita punya pelbagai senjata yang boleh kita gunakan untuk menewaskan mereka,” katanya.

Menteri Besar Johor berkata BN juga mesti memastikan Pilihan Raya Umum ( PRU) ke- 14 bukannya pilihan raya berdasarka­n persepsi tetapi berpanduka­n informasi.

Beliau berkata PRU ke-14 mesti disandarka­n kepada maklumat iaitu segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran BN mestilah disokong dengan data, pelan serta pencapaian.

“Saya sangat bimbang apabila pencapaian sebenar kerajaan tidak dijadikan ukuran sebenar sebaliknya rakyat disajikan dengan perspektif yang hanya bersandark­an persepsi. Akhirnya kita jadi mangsa persepsi sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.

“Jadi, saya mahu kita betulkan semula persepsi yang salah dan gantikan dengan maklumat sahih dan data yang empirikal. Berapa peruntukan pembanguna­n yang telah kita belanjakan, berapa rumah yang kita telah bina dan pekerjaan yang kita telah wujudkan,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, BN juga perlu menghadapi PRU ke-14 sebagai ‘Barisan Nasional’ dan bukan sebagai hanya parti komponen BN dengan menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat bahawa BN adalah ‘Team Malaysia’ yang bukannya sekadar UMNO, MCA, MIC, PPP dan Gerakan secara berasingan.

Beliau sehubungan itu mengajak seluruh anggota BN supaya bersama-sama kembali kepada semangat BN dan bersungguh-sungguh mengukuhka­n parti.

“Jangan sendiri-sendiri. Kita mesti berdiri sebagai BN dan kita mesti menawarkan kepada Johor dan Malaysia sebuah masa depan yang cerah dan maju sebagai kerajaan BN,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia