Utusan Borneo (Sarawak)

TIGA KORBAN MOTOSIKAL

Tiga remaja lelaki maut dalam kemalangan di Sibu, Kuching dan Miri awal pagi semalam.

- Oleh Watt Zacchaeus Mohd Shafik Ahmad Mohd Aliff Idzwan Abdullah

SIBU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang­nya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu yang terletak di tengah jalan.

Kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi di Jalan Pedada di sini awal pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Tay Hau Jin, 17, dikatakan menunggang motosikal seorang diri dari arah lampu isyarat di Jalan Pedada menuju ke pusat bandar.

Setibanya di tempat kejadian, motosikaln­ya hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Sarawak DSP Bingkok John telah mengesahka­n kejadian itu ketika dihubungi semalam.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Justeru, pihak polis memohon kerjasama saksi berada di tempat kejadian supaya tampil membantu memberi keterangan.

Sementara itu di KUCHING, seorang remaja maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5.2 Jalan Bau- Serikin dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut DSP Bingkok John, kejadian itu dipercayai berlaku jam 2.40 pagi.

Mangsa dikenali sebagai Loreno Dawi, 19, dikatakan menunggang motosikal jenis Honda EX5 berseorang­an dari arah Serikin menuju ke Bau.

“Loreno dijumpai terbaring di atas rumput di tepi jalan, bersebelah­an motosikaln­ya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagaimanap­un, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Bokah, Lundu itu dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Menurut Bingkok, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki cedera di bahagian muka selepas motosikal yang ditunggang­nya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuap, Batu 10 di sini kira-kira jam 4 pagi.

Mangsa berusia 16 tahun itu dikatakan cedera di muka berikutan insiden berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatka­n rawatan lanjut.

Sementara di MIRI, seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang­nya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Brighton, berdekatan simpang Park City Everly Hotel di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kirakira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Rijalluddi­n Abdullah, 19, dari Kampung Munggu Air, Simunjan maut di tempat kejadian manakala rakan yang membonceng bersamanya hanya mengalami cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superinten­den Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahka­n kemalangan terbabit.

“Kejadian berlaku apabila pemandu kereta dari arah pusat bandar menuju simpang kanan ke Park City Everly Hotel dan kemudian sebuah motosikal dari arah bertentang­an sebelah kanan hilang kawalan lalu merempuh kereta tersebut.

“Akibat rempuhan itu, kereta tersebut mengalami kerosakan pada pintu sebelah kanan dan cermin hadapan,” katanya.

Stanley berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ??  ?? NGERI: Mayat Tay tersadai di tengah jalan. MAUT: Keadaan mangsa maut di tempat kejadian diletakkan di pengusung.
NGERI: Mayat Tay tersadai di tengah jalan. MAUT: Keadaan mangsa maut di tempat kejadian diletakkan di pengusung.
 ??  ?? LORENO DAWI
LORENO DAWI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia