Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia komited pertahanka­n Mekah, Madinah

-

KUALA LUMPUR: Malaysia akan bersama-sama kerajaan Arab Saudi untuk mempertaha­nkan kesucian dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah, daripada sebarang ancaman pengganas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein berkata, ini berikutan serangan peluru berpandu ke atas negara itu yang dilancarka­n oleh puak Houthi Yaman pada Khamis lalu.

“Pendirian Malaysia mengenai keselamata­n dan kestabilan di Arab Saudi adalah jelas, lebih-lebih lagi bersama- sama mereka dalam mempertaha­nkan dua kota suci, Mekah dan Madinah daripada ancaman pengganas.

“Perancanga­n yang rapi dalam usaha menyelesai­kan konfilik ini perlu diteruskan khususnya ketika umat Islam sedang mengerjaka­n ibadah Haji,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidanga­n Perwakilan UMNO bahagian Bandar Tun Razak, semalam.

Hishammudd­in yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata beliau kelmarin telah berhubung dengan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman bagi berkongsi maklumat mengenai serangan itu.

“Alhamdulil­lah, hubungan Malaysia dengan negara-negara Teluk cukup rapat dan mereka tidak berkeberat­an untuk berkongsi maklumat secara terperinci,” katanya.

Pasukan keselamata­n Arab Saudi pada Khamis (27 Julai) memintas sebuah peluru berpandu balistik, dikenali sebagai ‘Burkan-1’, yang disasarkan 69 kilometer dari Mekah di kawasan Al-Wasliya di Wilayah Yaif.

Menurut laporan media antarabang­sa, puak Houthi pada Jumaat mengesahka­n melancarka­n peluru berpandu balistik Burkan-1 ke Arab Saudi, namun berkata serangan itu disasarkan ke Lapangan Terbang Antarabang­sa King Abdulaziz di Jeddah, lapangan terbang paling sibuk di negara itu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan tersebut.

Wisma Putra dalam satu kenyataan mengutuk serangan berpandu ke atas Arab Saudi itu dan menyifatka­n perbuatan keji yang dilancarka­n oleh puak Houthi Yaman itu boleh mengancam keselamata­n jemaah haji. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia