Lee, Colin juara cabaran daki tangga lereng bukit
Ungguli kategori wanita, lelaki elit kejohanan julung kali itu
MIRI: Cabaran Mendaki Tangga Lereng Bukit berlangsung di Kampung Haji Wahed di sini semalam menyaksikan Lee Leh Ha dan Colin Hang Min muncul juara masing-masing dalam kategori wanita dan lelaki elit.
Manakala naib juara wanita elit ialah Kelly Katrina Komasi dan ketiga ialah Chong Mi Chin. Naib juara lelaki elit, Liew Joon Kiew manakala Abdul Mutalib Dolek di tempat ketiga.
Sementara kategori lelaki terbuka menyaksikan Law Jun Tin muncul juara diikuti Stephen Ting Pang Yew (naib juara) dan Liew Joon Kien di tempat ketiga. Manakala Steven Wo (keempat) dan Chu Chat Shan di tempat kelima.
Saya berharap cabaran ini dijadikan salah satu acara tahunan sekali gus dianjurkan skala lebih besar pada tahun depan untuk dijadikan satu produk pelancongan berasaskan sukan. Adam Yii Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri
Bagi kategori wanita terbuka, juara dimenangi Lee Leh Ha, diikuti Jennifer Sia (naib juara) dan Hii Yieng Nyuk di tempat ketiga, Joanne Chang (keempat) dan Brenda Nahah (kelima).
Hadiah pemenang berupa trofi, medal serta wang tunai disampaikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii.
Cabaran itu dianjurkan Kelab Larian Taman Bulatan bagi mengutip derma mengumpul dana Persatuan Implan Koklea Sarawak.
Turut hadir Ketua Masyarakat, Penghulu Samad Alip dan Ketua Kaum Salin Santol serta pengerusi penganjur, Leo Goh.
Pada majlis itu, Adam turut menyampaikan cek sumbangan kepada Persatuan Implan Koklea Sarawak oleh penganjur pertandingan hasil kutipan yuran penyertaan peserta cabaran tersebut.
Selain itu, persatuan tersebut juga turut menerima derma berjumlah RM500, sumbangan peribadi Goh dan rakan-rakan beliau.
Sementara itu, Adam memuji usaha dan pertandingan julung kali itu bertujuan mengutip derma sambil berharap diteruskan pada tahun depan.
“Saya berharap cabaran ini dijadikan salah satu acara tahunan sekali gus dianjurkan skala lebih besar pada tahun depan untuk dijadikan satu produk pelancongan berasaskan sukan,” katanya.