Utusan Borneo (Sarawak)

KUCHING FA MELAKAR SEJARAH

Mara ke suku akhir Piala FAM 2017 setelah kekalahan mengejut SAMB di tangan Penjara FC

- Oleh Harry Ilias

KUCHING: Pasukan Kuching FA melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala FAM 2017.

Detik manis itu terlakar setelah pencabar terdekat, Syarikat Air Melaka Berhad ( SAMB) mengalami kekalahan mengejut di tangan Penjara FC dengan 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan petang kelmarin.

Keputusan itu melayakkan Kuching FA ke pusingan kalah mati bersama tiga pasukan teratas Kumpulan B iaitu Sime Darby FC, PJ Rangers FC dan Terengganu City FC.

Kejayaan Kuching FA melangkah ke suku akhir Piala FAM disambut dengan penuh kegembiraa­n oleh pihak pengurusan dan pemain-pemain skuad itu lebih- lebih lagi Pengurus Pasukan, Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurut Fazzrudin, kejayaan bersejarah Kuching FA itu menjadi manifestas­i usaha terancang dan berterusan Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA).

“Empat tahun dahulu Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg telah meletakkan sasaran kepada KDFA untuk turut serta dalam saingan Piala FAM.

“Bagi mencapai sasaran tersebut beliau telah mewu- judkan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebagai salah satu usaha ke arah mencapai misi tersebut.

“Berkat usaha gigih akhirnya pada tahun lalu pasukan Kuching FA menjuarai Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016 sekali gus layak ke saingan Piala FAM,” katanya di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu memberitah­u sebelum saingan Piala FAM 2017 bermula, Kuching FA meletakkan misi untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

“Alhamdulil­lah, hasil kerja keras seluruh pengurusan serta semua pemain, sasaran pasukan Kuching FA berjaya dicapai.

“Saingan merebut kejuaraan Piala FAM bakal bermula dan walaupun pasukan lain yang layak merupakan pencabar lebih berpengala­man dan kuat di atas kertas tetapi saya tetap percaya apa-apapun boleh berlaku dalam bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Shahrizan Sahari menyifatka­n kejayaan bersejarah Kuching FA layak ke suku akhir Piala FAM sebagai detik cukup manis buat barisan jurulatih dan semua pemain.

Beliau turut melontarka­n kredit kepada barisan jurulatih lain yang bersamasam­a berusaha dengan gigih membentuk pasukan mampu memberi saingan terhadap pencabar jauh lebih hebat.

“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk Kuching FA terus memberi saingan pada peringkat suku akhir nanti,” katanya.

Kuching FA akan menentang UKM FC pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan pada 10 September depan disusuli pertemuan kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 17 September.

Pertemuan suku akhir lain menyaksika­n Felcra FC menentang Terengganu City FC, Shahzan Muda FC berdepan PJ Rangers FC dan MPKB BRI-U BES/MOF FC menentang Sime Darby FC.

Empat tahun dahulu Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg telah meletakkan sasaran kepada KDFA untuk turut serta dalam saingan Piala FAM. Fazzrudin Abdul Rahman Pengurus

 ??  ??
 ??  ?? BARISAN MANTAP: Pasukan Kuching FA melakar sejarah mara ke suku akhir Piala FAM 2017. Gambar sisipan Fazzrudin.
BARISAN MANTAP: Pasukan Kuching FA melakar sejarah mara ke suku akhir Piala FAM 2017. Gambar sisipan Fazzrudin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia