Utusan Borneo (Sarawak)

Denmark kejutkan Jerman, England raih kemenangan pertama ke atas Perancis

-

TILBURG, Belanda: Impian Jerman untuk memenangi kejuaraan Euro Wanita untuk kali ketujuh berturut- turut berkecai apabila tandukan Nadia Nadim dan Theresa Nielsen dalam separuh masa kedua memastikan Denmark mencipta kejutan 2-1 pada perlawanan suku akhir di Rotterdam Ahad lepas.

Di separuh akhir nanti, Denmark akan menentang Austria, yang menewaskan Sepanyol 5- 3 menerusi penentuan tendangan penalti selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan di Tilburg.

Tuan rumah, Belanda, yang menewaskan Sweden 2- 0 pada perlawanan hari Sabtu, akan menentang England, yang mengejutka­n Perancis 1- 0 di Deventer menerusi gol Jodie Taylor.

Ia adalah kemenangan pertama England ke atas Perancis dalam tempoh 43 tahun.

Jerman, yang memenangi Euro Wanita enam kali berturut- turut dan lapan kali secara keseluruha­nnya, menguasai permainan yang ditangguh dari hari Sabtu kerana hujan lebat tetapi serangan pantas Denmark menghukum mereka.

Jerman bermula garang dengan Isabel Kershowski membuka jaringan apabila menewaskan penjaga gol Denmark, Stina Petersen seawal minit ketiga.

Tetapi Nadim menyentak keyakinan Jerman apabila mengikat kedudukan tiga minit selepas rehat menerusi tandukan kencang hasil umpanan Stine Larsen sebelum Nielsen menanduk umpanan Frederikke Thoegersen ketika berbaki tujuh minit permainan untuk gol kemenangan.

“Saya berasa sangat gembira di mana kami menewaskan Jerman. Ia cukup hebat,” kata Nielsen. “Semua orang mengimpika­n untuk menjaringk­an gol tetapi mencipta kemenangan ke atas juara bertahan adalah sesuatu yang luar biasa.”

Jurulatih Denmark, Nils Nielsen, berkata kemenangan mereka adalah selayaknya dengan satu cubaan Katrine Veje terkena palang selepas satu umpanan Nadim ditepis penjaga gol Jerman.

“Saya fikir kedua-dua pasukan mempunyai peluang. Jerman tidak memberikan tekanan besar kepada kami.”

Jurulatih Jerman, Steffi Jones, kecewa dengan kekurangan kesungguha­n dalam pasukannya.

“Ada banyak kekecewaan, kami tidak cukup agresif,” kata beliau.

Di Tilburg, penjaga gol Austria, Manuela Zinsberger menjadi wira pasukan apabila menepis tendangan penalti Silvia Meseguer.

“Ia perlawanan sengit,” kata jurulatih Austria, Dominik Thalhammer.

“Sepanyol menguasai permainan dan ia bukannya mudah tetapi kami bertahan dengan sangat baik.”

Jurulatih Sepanyol, Jorge Vilda, merombak jentera seranganny­a tetapi pasukan beliau sekali lagi menguasai permainan tetapi tanpa ketajaman di jentera serangan.

England mencipta kemenangan pertama ke atas Perancis sejak 1974 hasil rembatan Taylor.

Perancis, yang kehilangan kapten pasukan, Wendie Renard kerana menerima dua kad kuning, mempunyai beberapa peluang tetapi cubaan Eugenie Le Sommer tersasar dan rembatan Marie-Laure Delie ditepis penjaga gol England, Karen Bardsley.

“Saya berasa sangat bangga dengan pemain. Kami bermain dengan lebih yakin dan pasukan Perancis ini adalah antara pasukan terbaik di dunia dan ia adalah keputusan yang hebat.”

Pemain tengah Perancis, Amandine Henry berkata pasukannya tidak perlu berasa malu.

“Ada dua pasukan yang bagus malam ini dan malangnya, kami adalah pasukan yang tersingkir,” kata beliau.

“Ia adalah perlawanan yang ditentukan dengan kesilapan paling kecil, tetapi ia lumrah pada kejohanan besar seperti ini,” tambah jurulatih Perancis, Olivier Echouafni. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia