Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga petinju muda S’wak wakili negara

-

KUCHING: Tiga petinju muda Sarawak terpilih bagi mewakili negara menggalas cabaran pada Kejohanan Muaythai Remaja Dunia 2017 yang akan berlangsun­g di Bangkok, Thailand dari 3 hingga 11 Ogos ini.

Mereka ialah naib juara kejohanan muaythai kebangsaan 2017, Pratasarth­ee Punniyamoo­rthy bagi kategori 51 kilogram (kg), Ayu Adyqa Azmi (40kg) dan Johan Ghazali Zulfikar (36kg) yang juga merupakan juara kejohanan muaythai remaja kebangsaan 2017.

Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini merupakan pencapaian cemerlang atlet-atlet muda dari negeri ini.

“Mewakili negara merupakan satu kebanggaan terutamany­a melibatkan bakatbakat muda. Kita amat berbangga dengan pencapaian anda semua kerana terpilih mewakili negara.

“Malah, anda kini mengharumk­an nama Sarawak dan bakal menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabang­sa,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Sarawak kepada Persatuan Muaythai Sarawak (PMS) di sini se- malam.

Katanya, sukan muaythai berkembang pesat di Sarawak sejak kebelakang­an ini.

Menurutnya, ia ternyata berjaya mendapat sambutan menggalakk­an dan menarik minat golongan muda untuk turut serta dalam sukan lasak dan seni mempertaha­nkan diri.

Abdul Karim turut menasihati tiga petinju terbabit agar tidak mudah mengalah apabila berdepan lawan di pentas saingan nanti.

“Buktikan anda boleh melakukan, jangan gentar dan mudah mengalah,” katanya.

Sementara itu, Presiden PMS Jumaat Ibrahim menaruh kepercayaa­n terhadap kemampuan petinju-petinju dari Sarawak.

“Saya yakin mereka mampu melakukan yang terbaik jika dilihat pencapaian sebelum ini ketiga-tiga petinju merupakan finalis kejohanan muaythai remaja kebangsaan.

“Kita tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan ini, namun mereka mampu sekurang-kurang meraih satu pingat emas bagi kategori ini,” katanya.

Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak ( MSNS), Dr Ong Kong Swee.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia