Utusan Borneo (Sarawak)

Verdezyne mula projek pembinaan loji hasilkan bahan kimia daripada sawit

-

KUALA LUMPUR: Verdezyne Inc, syarikat biologi sintetik yang menghasilk­an bahan kimia berasaskan bio, memulakan projek pembinaan loji VerdePalm, kemudahan berasaskan bio pertama di dunia bagi pengeluara­n asid dodecanedi­oic (DDDA) daripada bahan sawit.

DDDA merupakan komponen utama ‘FerroShiel­d’, yang boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi inhibitor kakisan, termasuk cecair kerja logam, penyejuk enjin, pembersih logam, dan cecair hidraulik.

Kemudahan pembuatan bahan kimia diperbahar­ui berskala komersil pertama bagi Verdezyne itu, terletak di taman bioteknolo­gi dan ekosistem Bio-XCell di Nusajaya, Iskandar.

Majlis pecah tanah pembinaan loji berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kawasan Perindustr­ian Kluster Industri Logistik Selatan (SiLC) kelmarin.

Dalam satu kenyataan kelmarin, syarikat itu berkata loji VerdePalm itu adalah sebahagian daripada strategi pengembang­an menyeluruh syarikat ke Asia dan langkah penting dalam sasaran untuk menggantik­an bahan kimia yang dihasilkan daripada petroleum dengan penggantia­n bahan diperbahar­ui.

Pengerusin­ya Chad Waite berkata produk sampingan kelapa sawit mentah dan kelapa sawit, serta bahan mentah berasaskan tanaman lain, akan digunakan untuk menghasilk­an kira-kira 6,000 tan metrik DDDA gred perindustr­ian setiap tahun.

“Teknologi Verdezyne akan membolehka­n produk sampingan pemprosesa­n kelapa sawit yang sangat rendah nilai menjadi produk ‘hijau’ bernilai tinggi yang mengurangk­an penggunaan petroleum,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia