Utusan Borneo (Sarawak)

Nelayan asing ditahan dekat Tanjong Karang

-

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang tekong dan enam awak-awak dipercayai warga Indonesia di perairan Tanjong Karang dekat sini, kelmarin kerana menangkap ikan tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Daerah Kapten Abu Zaki Mohammad berkata, mereka yang berumur di antara 21 hingga 41 tahun ditahan di 29.3 batu nautika dari perairan Tanjong Karang kira-kira jam 10.45 pagi.

Selain itu, pihaknya mer- ampas bot sepanjang 20 meter yang turut mengandung­i sebuah tong ikan campur, 16 rawai dan sebuah pukat.

“Pemeriksaa­n mendapati awak-awak dan tekong bot tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Bot dan warga asing itu dibawa ke pusat operasi Maritim Klang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata susulan kejadian itu, APMM meningkatk­an penguatkua­saan di sekitar perairan negara bagi mengekang penceroboh­an nelayan asing yang bukan sahaja menjejaska­n pendapatan nelayan tempatan malah dikhuatiri menjadi punca kepada kegiatan jenayah dan penyeludup­an di laut.

Sementara itu, Abu Zaki berkata pihaknya memperluas­kan kawasan pencarian bagi mengesan seorang kru kapal tangki MT C. P38 yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut kira-kira 10.8 batu nautika barat daya Morib di sini, Ahad lepas.

“Pencarian yang memasuki hari kedua diperluask­an ke lima hingga 10 batu nautika dan persatuan nelayan sekitar kawasan juga telah dimaklumka­n mengenai kejadian ini. Mereka diminta melaporkan sebarang penemuan objek kepada kami,” katanya.

Dalam kejadian itu, rakyat Thailand yang dikenali sebagai Teerayouth, 28, dilihat berada di atas kapal itu kirakira jam 5.38 petang.

Ketika kejadian, kapal tangki itu yang berdaftar di Bangkok, Thailand adalah dalam perjalanan ke Papua New Guinea dari Pelabuhan Klang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia