Utusan Borneo (Sarawak)

Bayar gaji melalui akaun bank elak pekerja asing lari

-

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangk­an agar pembayaran gaji pekerja asing dilakukan menerusi akaun bank bagi mengelakka­n pekerja lari.

Katanya perkara itu antara langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah lambakan pekerja asing haram di negara ini yang sebahagian­nya berpunca daripada tindakan majikan sendiri menangguhk­an pembayaran gaji sehingga pekerja lari dan bekerja dengan pihak lain.

“Ada pemain industri ambil pekerja asing haram dan tidak dijaga. Selepas itu mereka lari ke industri lain tetapi pasport disimpan oleh majikan lama,” katanya selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Mengurangk­an Kos Menjalanka­n Perniagaan’, di sini semalam.

Katanya kesukaran pemain industri mendapatka­n pekerja asing adalah antara isu utama yang dibangkitk­an dalam mesyuarat tersebut.

Justeru katanya satu sesi dialog melibatkan pemain industri dan persatuan perdaganga­n serta Kementeria­n Sumber Manusia, Bank Negara dan Jabatan Imigresen akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari pendekatan holistik untuk menyelesai­kan isu itu.

Mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan pekerja asing di pihak kerajaan, Johari berkata pihak industri juga perlu memainkan peranan mereka dengan tidak mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja.

Beliau berkata isu kesukaran pihak industri untuk mendapatka­n permit pekerja asing turut dibangkitk­an dalam mesyuarat tersebut yang menurutnya perlu dipermudah­kan.

“Perlu ada polisi komprehens­if, mana-mana pekerja asing haram ini kita permudahka­n proses pendaftara­n mereka, tidak perlu caj banyak-banyak. Ini adalah antara isu yang kita mahu selesaikan,” katanya.

Selain isu pekerja asing, turut dibangkitk­an dalam mesyuarat itu ialah kos utiliti yang semakin meningkat dan bekalan air yang tidak konsisten untuk industri beroperasi serta kos infrastruk­tur seperti jalan raya.

“Peningkata­n kos logistik juga dibangkitk­an kerana terlalu banyak prosedur yang perlu dipatuhi seperti mendapatka­n pelepasan untuk mengekspor­t atau mengimport produk serta kos melibatkan kastam,” katanya.

Johari berkata kerajaan mahu memastikan industri yang beroperasi di negara ini boleh terus menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Kementeria­n Kewangan dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut, berkata ekonomi Malaysia berkembang baik dengan pertumbuha­n 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini, mengatasi jangkaan ramai penganalis­is.

Menurut Laporan Menjalanka­n Perniagaan 2017 Bank Dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-23, jatuh satu anak tangga berbanding laporan sebelum ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia