Utusan Borneo (Sarawak)

KWSP gesa pekerja dalam sektor tidak formal sumbang kepada Skim Persaraan 1Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) menggesa lebih ramai pekerja dalam sektor tidak formal menyumbang kepada Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia untuk memastikan masa depan kewangan yang selamat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Strategi), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata pekerja dalam sektor tidak formal, didefinisi­kan sebagai sebahagian daripada ekonomi yang tidak dikenakan cukai atau dipantau oleh kerajaan, tidak mempunyai sistem perlindung­an yang sesuai bagi persaraan mereka berbanding sektor formal atau kerajaan.

Sektor tersebut termasuk mereka yang terlibat dalam ‘ekonomi gig’ – sekumpulan individu yang mempunyai pekerjaan sementara atau fleksibel seperti pekerjaan dalam talian atau perniagaan, pemandu Grab atau Uber, kontraktor bebas dan ‘freelancer’.

“Kita perlu memastikan orang ramai memahami kesan daripada persaraan dan bagaimana membuat persediaan mengenainy­a seawal mungkin.

“Legasi kewangan adalah faktor utama, dan 70 peratus daripada rakyat Malaysia berada di bawah paras global kadar celik kewangan yang boleh diterima,” katanya kepada pemberita pada Persidanga­n Antarabang­sa Keselamata­n Sosial KWSP 2017 di sini semalam.

Tunku Alizakri berkata orang ramai perlu mempunyai pengetahua­n mengenai kewangan yang diperlukan yang membolehka­n mereka mengambil alih pelaburan mereka.

“KWSP hanya sebahagian daripada pelaburan mereka bagi persaraan mereka, kita perlu memastikan mereka yang berada dalam ekonomi gig akan melabur bukan sahaja dalam KWSP tetapi juga dalam skim persaraan swasta dan insurans, antara lainnya,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 10 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia merupakan kakitangan kerajaan dan mereka layak untuk skim pencen, dan kira-kira 40 peratus dalam sektor formal, yang disediakan oleh KWSP, manakala 50 peratus daripada tenaga kerja di bawah kategori sektor tidak formal.

Walaupun mereka yang berada dalam sektor ekonomi gig memperoleh banyak wang, Tunku Alizakri berkata kebanyakan daripada mereka tidak bersedia bagi masa depan mereka.

“Setiap orang perlu bersedia bagi persaraan mereka seawal mungkin. Kita tahu majoriti daripada ahli kita tidak mempunyai simpanan yang mencukupi berikutan mereka tidak merancang jauh ke hadapan dan tidak benar- benar memahami keperluan masa depan mereka,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia