Utusan Borneo (Sarawak)

Kejayaan pelbagai inisiatif ekonomi sangkal dakwaan M’sia negara gagal

-

KUALA LUMPUR: Kejayaan pelbagai inisiatif yang dilaksanak­an oleh kerajaan untuk mengukuhka­n ekonomi negara telah terbukti, sekali gus menyangkal tohmahan kononnya Malaysia adalah sebuah negara yang gagal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelan ekonomi kerajaan yang berpandang­an jauh serta langkah proaktif yang diambil dalam melaksana keputusan penting telah membina daya tahan ekonomi negara untuk menghadapi cabaran luar.

“Ini telah terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatka­n pertumbuha­n sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama 2017. Prestasi ini disokong terutamany­a oleh perbelanja­an sektor awam,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa sesi soal jawab pada persidanga­n Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Hamzah ( BN- Jasin) yang ingin tahu tahap kebarangka­lian Malaysia mencapai status negara berpendapa­tan tinggi menjelang 2020 setelah mengambil kira unjuran Bank Negara Malaysia bahawa ekonomi negara akan kembali kukuh pada tahun ini dan unjuran Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF) bahawa ekonomi negara akan kembali mantap.

Najib berkata baru-baru ini, IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuha­n ekonomi negara bagi 2017 daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus manakala Bank Dunia meramalkan unjuran pertumbuha­n KDNK Malaysia kepada 4.9 peratus, berbanding unjuran asal 4.3 peratus.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan terus melaksanak­an pelbagai inisiatif untuk memastikan semua sektor ekonomi sentiasa berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat domestik dan global bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh.

“Ini termasuk mempelbaga­ikan sumber pendapatan kerajaan, mengurangk­an kebergantu­ngan terhadap pendapatan minyak dan gas, menyediaka­n persekitar­an kondusif bagi menarik pelaburan asing dan domestik, meningkatk­an perdaganga­n dan produktivi­ti serta memperkuku­h keupayaan inovasi dan teknologi negara,” kata perdana menteri.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PKR-Pematang Pauh) berhubung dakwaan ekonomi negara tidak memberangs­angkan dan hutang negara meningkat, Najib berkata hutang negara kini dalam lingkungan terkawal.

Katanya, kerajaan akan melakukan langkah-langkah terbaik untuk kepentinga­n rakyat selain memastikan mereka menerima faedah daripada inisiatif yang dilaksanak­an.

“Dalam beberapa bulan akan datang, lebih banyak usaha akan dilakukan.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita akan melakukan yang terbaik untuk rakyat, tetapi kita tidak boleh menjanjika­n benda-benda yang tidak boleh masuk akal, lazimnya yang dijanjikan oleh pembangkan­g sebagai gula-gula untuk sukakan hati rakyat tetapi kita tahu ia tidak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan,” katanya.

Menyentuh pertanyaaa­n Dr Wan Azizah mengenai hutang 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), Najib berkata perkara itu hanya melibatkan soal teknikal dan tidak akan menjejaska­n keyakinan terhadap ekonomi negara. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? JAWAB SOALAN: Najib menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
— Gambar Bernama JAWAB SOALAN: Najib menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia