Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga pendaki mati di Andes

-

LIMA: Dua warga Chile dan seorang lelaki dengan dwikerakya­tan Amerika Syarikat- Russia mati di Peru ketika mereka cuba mendaki sebuah gunung diselaputi salji di Banjaran Andes, kata jurucakap kumpulan pendakian gunung kelmarin.

Mangsa kemungkina­n mencetuska­n runtuhan salji ketika mendaki Piramide de Garcilaso, gunung setinggi 5,885 meter di banjaran Cordillera Blanca di Andes, tengah Peru, kata Rafael Figueroa dari Persatuan Malim Gunung Peru (AGMP) dalam badan penyiaran tempatan RPP.

Pasukan mencari AGMP menjumpai mayat- mayat tersebut kelmarin selepas rakan dan anggota keluarga mangsa Chile berkata mereka tidak kembali sejak berkunjung ke Piramide de Garcilaso, kata Figueroa.

“Tiga orang ini dipercayai cuba mendaki lereng gunung Piramide de Garcilaso yang dilitupi salji tanpa malim terlatih untuk ekspedisi seperti ini,” kata Figueroa.

Warga Chile terbabit dikenali sebagai Cristobal Bizzarri dan Gabriel Navarrete, manakala lelaki ketiga Alexander Maznev, kata Figueroa.

Antonio Zavala, ketua polis bandar Huaraz, mengesahka­n kerakyatan mangsa dan berkata pihak berkuasa dalam perjalanan untuk mengeluark­an mayat mereka, yang memerlukan perkhemaha­n semalam di Cordillera Blanca waktu musim salji di hemisfera selatan.

Cordillera Blanca, yang mempunyai puluhan glasier, gunung tinggi dan tasik hijau kebiruan, destinasi popular bagi pendaki dan pengembara. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia