Utusan Borneo (Sarawak)

Hampir 2,000 akaun palsu dikenal pasti, 75 peratus dikenakan tindakan

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia telah mengenal pasti hampir 2,000 akaun palsu dengan kira-kira 75 peratus daripadany­a telah diambil tindakan termasuk sekatan dan penutupan akaun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata bagi tempoh Januari tahun lepas hingga Jun tahun ini, sebanyak 221 kes melibatkan media baharu termasuk media sosial, laman sesawang dan blog telah disiasat, yang mana 19 kes telah dikenakan kompaun dan lima kes telah didakwa serta disabitkan kesalahan.

“Kementeria­n melalui Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia sentiasa bekerjasam­a dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan Internet amnya.

Untuk tindakan penutupan akaun, akaun-akaun palsu akan dilaporkan kepada pihak penyedia perkhidmat­an media sosial yang kebanyakan­nya berada di luar negara seperti Facebook dan Twitter berdasarka­n pelanggara­n terma dan syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri,” katanya pada persidanga­n Dewan Rakyat semalam.

Salleh berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BNSabak Bernam) mengenai bilangan akaun media sosial palsu yang disiasat dan dikenal pasti serta apakah tindakan penguatkua­saan dan undang- undang yang diambil bagi mengekang gejala penyebaran berita palsu dan fitnah.

Beliau berkata siasatan dan tindakan yang diambil adalah berdasarka­n undang-undang sedia ada iaitu Kanun Kes- eksaan, Akta Hasutan 1984, Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98).

Katanya kerajaan juga telah menyediaka­n portal ‘sebenarnya.my’ sebagai salah satu usaha menyokong inisiatif untuk menangani masalah penularan berita palsu, selain sedang membangunk­an aplikasi mudah alih bagi memudahkan proses pengaduan.

“Orang awam boleh membuat aduan dan laporan menggunaka­n saluran sedia ada melalui aplikasi WhatsApp, SMS (sistem pesanan ringkas), e-mel, telefon atau hadir sendiri ke pejabat Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia