Utusan Borneo (Sarawak)

Demonstras­i aman peniaga tuntut k’jaan Pulau Pinang pulangkan trak makanan

-

GEORGETOWN: Sekumpulan peniaga dan pekerja mereka mengadakan demonstras­i aman bagi menuntut kerajaan negeri memulangka­n semula sebuah trak makanan yang dirampas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Selasa lepas.

Anggota Parlimen Belia Malaysia Pulau Pinang Mohamad Nazri Abdul Latif yang mewakili kumpulan itu mendakwa MBPP merampas trak makanan milik seorang peniaga cendol, Zulshahriz­al Erwan Mohd Zulkifli, 34, tanpa sebarang notis pemberitah­uan.

“Pihak MBPP rampas pada hari Selasa pukul 11.30 malam. Pada ketika itu, trak makanan itu diletak di kawasan letak kenderaan penduduk di Kondominiu­m Pearl Garden, Sungai Ara. Mereka tak ambil kenderaan lain, cuma trak makanan itu sahaja mereka ambil.

“Kami buat laporan polis sebab sangka kenderaan dicuri. Tetapi kami dimaklumka­n pihak MBPP yang ambil trak makanan itu. Kami bagi 24 jam untuk MBPP pulangkan semula trak milik peniaga ini, namun sehingga kini tidak ada tindakan daripada pihak terbabit,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini semalam.

Kumpulan itu turut membawa sepanduk, durian dan laksa sebagai simbolik menunjukka­n ketidakpua­san mereka terhadap tindakan kerajaan negeri merampas kenderaan tersebut dan tidak mengeluark­an lesen kepada peniaga trak makanan.

Mereka kemudianny­a berkumpul dan membawa makanan itu di hadapan pejabat MBPP di Tingkat 3, Komtar untuk diserahkan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Exco kerajaan negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim, namun mereka tidak dibenarkan masuk.

Mereka kemudian menyerahka­n dua surat tuntutan kepada wakil kerajaan negeri, Zahar Zainul.

Mohamad Nazri berkata surat tuntutan itu antara lain meminta kerajaan negeri memulangka­n semula trak makanan berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran dan meminta kebenaran untuk berniaga di tapak berhadapan Kondominiu­m Pearl Garden, Sungai Ara dekat sini.

Sementara itu, Zulshahriz­al Erwan berkata dia menyara keluarga dengan hasil jualan cendol dan kini kehilangan sumber pendapatan selepas trak makanan tersebut dirampas.

“Saya mula berniaga sejak 2015. Ini kali pertama mereka rampas trak makanan saya. Dah dua hari saya tak ada sumber pendapatan. Jadi, saya harap pihak MBPP dapat pulangkan semula tanpa saya perlu bayar apa-apa,” katanya.

Zulshariza­l Erwan berkata dia ada memohon lesen, bagaimanap­un MBPP memaklumka­n lesen tidak dikeluarka­n kepada peniaga trak makanan.

“Mereka kata tak pernah keluarkan lesen untuk perniagaan ‘food truck’, jadi, macam mana kami nak memohon. Dua minggu sekali MBPP mai ambil kerusi dan meja kami. Macam mana kami nak berniaga,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia