Utusan Borneo (Sarawak)

Suami tanam ganja untuk isteri hidap kanser dipenjara

-

JAKARTA: Mahkamah Indonesia di Pulau Borneo kelmarin menjatuhka­n hukuman penjara selama lapan bulan ke atas seorang lelaki selepas dia menanam ganja bagi tujuan perubatan untuk meredakan kesakitan yang dialami isterinya yang menghidap kanser dan meninggal dunia sejurus selepas lelaki itu ditangkap, kata peguamnya.

Indonesia mempunyai undang-undang dadah antara yang paling ketat di dunia dan memenjara ramai pengguna dan penjual kerana apa yang disebut oleh kerajaan sebagai darurat dadah yang dihadapi negara.

Pendekatan tegas kepada dadah pada umumnya adalah popular di negara Asia Tenggara itu, tetapi kisah Fidelis Arie telah mencetuska­n simpati dan kemarahan aktivis hak asasi manusia.

Mahkamah Daerah Sanggau di wilayah Kalimantan Barat menjatuhka­n hukuman penjara selama lapan bulan ke atas Arie dan mendendany­a 1 bilion rupiah (RM337,500), kata peguamnya Marcelina Lin menerusi telefon dari mahkamah. Tempoh hukuman lebih lama daripada lima bulan yang dituntut oleh pihak pendakwaan.

Menurut peguamnya, mahkamah mendapati Arie tidak ada permit untuk menggunaka­n ganja dan membekalka­nnya kepada orang lain, tetapi menurutnya hakim menerima hakikat bahawa dia bukan pengguna mahupun penjual.

Lin berkata anak guamnya, bapa kepada dua anak, menangis ketika mendengar keputusan mahkamah dan masih menimbang sama ada untuk merayu keputusan itu atau tidak.

Dia kini ditahan di Institut Penjara Sanggau.

Adik kepada lelaki yang didapati bersalah itu, Yohana, turut berkata keluarga mereka masih menimbang sama ada dia harus merayu ataupun tidak.

“Kerana sebarang keputusan tidak akan mengembali­kan isterinya,” katanya dalam satu teks pesanan telefon.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis undang-undang mengecam keputusan itu.

“Fidelis mungkin telah melakukan jenayah apabila dia menanam tumbuhan candu itu tetapi ia dibuat dalam situasi kecemasan,” kata Andreas Harsono dari Human Rights Watch.

“Dia menanam tumbuhan itu kerana sayang kepada isterinya. Dia tidak harus dipenjara kerana menyayangi isterinya,” kata Harsono.

Institut Reformasi Keadilan Jenayah ( ICJR) turut menyeru agar semua tuduhan terhadap Arie digugurkan. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia