Utusan Borneo (Sarawak)

MATI DIPERCAYAI DIBUNUH

Mayat ditemui dengan beberapa kesan tetakan di badan, seorang suspek ditahan bantu siasatan.

- Oleh Rosemaria Buma

MIRI: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di badan dipercayai dibunuh dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di kawasan perumahan Grace Hill Serene Luak di sini, malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Geoffrey Gau, 42, dan berasal dari Long San, Ulu Baram.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superinten­den Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahka­n kejadian itu.

Katanya, sekitar jam 8.55 malam, 3 Ogos lalu, seorang anggota yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memberitah­u ada seorang lelaki ditemui mati di rumahnya.

Pengadu mendakwa mangsa yang mati merupakan bapa saudara kepada suaminya.

Bertindak atas maklumat diterima, kata Stanley, sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai mayat mangsa di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah jenis berkembar dua tingkat di kawasan perumahan tersebut.

“Semasa dijumpai terdapat beberapa kesan tetakan dipercayai menggunaka­n benda tajam di bahagian leher, kepala, bahu, tangan dan kaki mangsa.

“Sekitar jam 10.20 malam hari sama, polis telah menangkap seorang lelaki yang sedang bersembuny­i di rumah jiran sebelah kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh tersebut,” jelasnya.

Semasa tangkapan dibuat, katanya, polis turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri berisi sebutir peluru hidup, sebutir peluru di atas lantai, sebuah beg pinggang mengandung­i sembilan butir peluru hidup dan lapan kelongsong peluru serta sebutir lagi peluru hidup yang disimpan di dalam poket seluar suspek.

Turut dirampas sebilah pedang samurai berserta sarung, sebilah parang ilang dengan kesan darah, satu sarung senapang patah dan satu unit tablet untuk dijadikan barang kes.

Menurut Stanley, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek dipercayai ada mengambil dadah jenis syabu sebelum kejadian yang disyaki berpunca daripada pengaruh dadah.

“Bagaimanap­un, kita akan menjalanka­n siasatan terper- inci dari segenap aspek untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kes tersebut diklasifik­asikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suspek yang berusia 34 tahun dan bekerja di sebuah syarikat luar pantai diperintah­kan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarka­n Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarka­n permohonan reman yang dikemukaka­n pegawai penyiasat kanan ASP Lee Chee Keat mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Tempoh reman ke atas suspek akan tamat pada 11 Ogos ini.

Difahamkan, mangsa datang dari kampung dan tinggal menumpang di rumah suspek sejak beberapa hari lalu untuk urusan peribadi di sini.

 ??  ?? BAHAN BUKTI: Selaras senapang patah yang dirampas daripada suspek semasa dia ditangkap malam kelmarin. CUBA MENYOROK: Suspek diberkas polis ketika sedang bersembuny­i di rumah jiran sebelah sebaik kejadian.
BAHAN BUKTI: Selaras senapang patah yang dirampas daripada suspek semasa dia ditangkap malam kelmarin. CUBA MENYOROK: Suspek diberkas polis ketika sedang bersembuny­i di rumah jiran sebelah sebaik kejadian.
 ??  ?? DIBUNUH: Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri dengan menaiki kenderaan polis.
DIBUNUH: Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri dengan menaiki kenderaan polis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia