Operasi pemvaksinan haiwan peliharaan diterus
244 anjing divaksin di kawasan Siburan, operasi dikejutkan petani bawa 14 ekor anjing untuk disuntik
KUCHING: Operasi pemvaksinan haiwan peliharaan ekoran wabak rabies di Dewan Masyarakat Siburan di sini semalam dikejutkan dengan kedatangan seorang petani dari pekan Tapah yang membawa 14 anjing miliknya untuk disuntik.
Petani itu sendiri terpaksa membantu petugas berada di atas lori jenis pikap bagi mengawal anjing-anjingnya kerana kelihatan berbahaya dan garang.
Operasi di dewan itu merupakan sebahagian daripada proses suntikan vaksin secara berterusan bagi membendung penularan wabak rabies.
Program itu semalam membabitkan pekan kecil Siburan, Beratok dan Tapak yang bermula jam 11.15 pagi membabitkan 244 ekor anjing divaksin yang berakhir pada jam 4 petang.
Penghulu Komuniti Cina Siburan, Beratok dan Tapah, Voon Min Sen juga hadir dan memuji usaha dibuat kerajaan negeri untuk mengawal penularan rabies. “Saya gembira kerana pihak berkuasa memutuskan untuk melakukan vaksinasi dalam kawasan Siburan termasuk Beratok, Tapah juga kawasan kampung sekitarnya.
“Program ini sekali gus membantu meningkatkan kesedaran pemilik haiwan peliharaan mengenai kepentingan menempatkan anjing dalam kawasan kediaman,” katanya.
Siburan disenarai salah satu daerah wabak selepas seekor anjing liar kawasan tersebut didapati positif rabies.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMCS) mengeluar kenyataan bahawa kira-kira 1,196 anjing diberikan vaksin semalam menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini mencecah 26,228 ekor.
Daripada jumlah itu kira- kira 18,587 adalah anjing, 7,596 kucing selebihnya 45 ekor adalah haiwan lain.
Semalam, program yang sama turut diadakan di beberapa kampung lain seperti Kampung Tringgus Rabak Rotan, Kampung Tringgus Bong, Kampung Tringgus Matan, Kampung Stampin dan Stutong.
Setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak ( JPVS) menjalankan 159 kempen kesedaran rabies di kawsan kampung dan sekolah dalam kawasan terjejas yang dihadiri 31,363 orang.
Sekretariat itu, berkata 27 kes gigitan baharu telah dilapor semalam (4 Ogos), 13 di Serian, dua di Sri Aman dan 12 di Kuching, menjadikan jumlah kumulatif gigitan anjing mencapai 1,442 sejak kes pertama dikenal pasti pada 1 April lalu.
Saya gembira kerana pihak berkuasa memutuskan untuk melakukan vaksinasi dalam kawasan Siburan termasuk Beratok, Tapah juga kawasan kampung sekitarnya. Voon Min Sen Penghulu Komuniti Cina Siburan, Beratok dan Tapah