Utusan Borneo (Sarawak)

JKDM wajibkan semua anggota duduki ujian integriti

-

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mewajibkan semua anggotanya menduduki Ujian Kaedah Penilaian Integriti bagi mengukur ketelusan individu mengikut skop kerja yang dilaksanak­an khususnya untuk tujuan penempatan, kenaikan pangkat dan kebolehan diri anggota.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T. Subromania­m berkata ujian itu, yang dikendalik­an Institut Integriti Malaysia dan MIMOS, akan diadakan secara berperingk­at kerana ia melibatkan perbelanja­an besar memandangk­an jumlah kakitangan jabatan berkenaan melebihi 14,000 orang.

Beliau berkata JKDM membelanja­kan RM180 bagi seorang anggota atau kakitangan­nya yang menduduki ujian berkenaan.

“JKDM merupakan agensi penguatkua­saan pertama yang melaksanak­an ujian ini dan kita berharap ia dapat membantu pengurusan dan memartabat­kan integriti jabatan agar bebas daripada rasuah serta menaikkan imej jabatan dalam kalangan masyarakat.

“Sehingga kini, seramai 116 Pembantu Penguasa Kastam gred WK19 dan Pegawai Kastam gred WK48 lantikan baharu pada tahun ini telah selesai menduduki ujian berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastama­n dan GST) Datuk Paddy Abd Halim dan Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) Datuk Azimah Abd Hami.

Seramai 116 orang Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 selesai menjalani kursus asas yang diadakan di Akmal di Ayer Keroh di sini selama 12 minggu bermula 15 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Subromania­m berkata integriti merupakan pencapaian sesebuah organisasi tanpa adanya rasuah, tingkah laku atau perbuatan yang menjejaska­n kepercayaa­n masyarakat terhadap organisasi.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, Lembaga Tatatertib JKDM mengendali­kan 105 kes tatatertib melibatkan enam kesalahan utama iaitu tidak hadir bertugas (43 kes), rasuah dan salah guna kuasa (24 kes), tidak mengikut prosedur perkastama­n (10 kes), penyalahgu­naan dadah (8 kes) serta tatakelaku­an (20 kes).

“Seramai 67 anggota didapati bersalah dan 32 orang daripada mereka telah dibuang kerja. Saya menegaskan di sini bahawa JKDM tidak akan bertolak ansur dalam isu tatatertib melibatkan anggota atau pegawai jabatan,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata pihaknya telah memulakan siasatan dalaman berkaitan penahanan enam anggota dan seorang pegawai kanan oleh Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur dan Pahang barubaru ini.

Ditanya sama ada mereka akan ditukarkan ke unit lain di jabatan berkenaan, beliau berkata tindakan itu tidak akan menyelesai­kan masalah sebaliknya tindakan tegas termasuk buang kerja perlu diambil terhadap mereka jika didapati bersalah.

“Kita masih menunggu siasatan yang dilakukan SPRM selesai dan semua mereka masih ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Subromania­m melancarka­n alat pelupusan kelongsong peluru yang dikenali sebagai G-Song yang mampu membantu JKDM menjimatka­n perbelanja­an kira-kira RM302,000 setahun.

Beliau berkata inovasi melibatkan kos RM4,000 itu dihasilkan anggota dan pegawai Kastam dari Akmal dan ia dijangka dikomersil­kan dalam masa terdekat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia