Utusan Borneo (Sarawak)

Rasuah: Sarjan dipenjara sehari, denda RM10,000

-

MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperoleh suapan bernilai RM1,500 tahun lepas.

Muhammad Firdaus Sulaiman, 29, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Balai Polis Melaka Tengah menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan ke atasnya.

Hakim Meor Sulaiman Ah- mad Tarmizi memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara semalam dan akan dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada seorang wanita Fatimah Abdullah untuk melupuskan barang kes air kencing yang hendak diuji kepunyaan anak wanita itu bernama Mohd Dzulkarnai­n Azli.

Anak wanita itu ditahan di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Siantan, Bukit Baru di sini pada 16 Sept tahun lepas kerana terbabit dengan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muhammad Firdaus yang berkhidmat tiga tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Melaka Tengah di sini, pada 6.30 petang, 22 Sept tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntu­kkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh serius memandangk­an lelaki itu merupakan seorang penjawat awam dan anggota polis.

Peguam Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman minimun atas alasan tertuduh yang digantung tugas sejak 16 Mac itu perlu menjaga dan menanggung perbelanja­an kos rawatan isterinya bernilai RM5,000 sebulan yang menghidap penyakit radang sendi.

Pada 16 Mac lepas Muhammad Firdaus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini atas pertuduhan itu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERSALAH: Muhammad Firdaus (kanan) dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dekat Melaka, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperoleh suapan bernilai RM1,500 tahun lepas.
— Gambar Bernama BERSALAH: Muhammad Firdaus (kanan) dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dekat Melaka, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperoleh suapan bernilai RM1,500 tahun lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia