Utusan Borneo (Sarawak)

Dia tak pulang awal, rancak tangkap ikan, kata isteri

-

DUNGUN: “Suami saya tidak dapat pulang awal kerana dia sedang rancak menangkap ikan, namun dia berjanji akan pulang segera,” kata Siti Nur Syuhada Hanafi, 23, mengenai suaminya yang hilang dalam kejadian bot karam di muara Kuala Dungun pada Rabu lalu.

Beliau berkata, suaminya Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, memberitah­u demikian ketika menghubung­inya pada jam 5 petang Rabu dan turut memberitah­u dia berharap dapat sampai ke rumah esok hari.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, suaminya bersama tiga rakan nelayannya yang lain dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca mereka terbalik dipukul ombak ketika memasuki muara.

Pada jam 8.50 pagi semalam, mayat Mohd Nazri Yaacob, 37, telah ditemui manakala yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, dan Abdul Wahab Zakaria, 44. Seorang lagi mangsa Mohd Shazrin Yaccob, 33, iaitu adik kepada Mohd Nazri berjaya menyelamat­kan diri selepas tiga jam berenang ke daratan.

Siti Nur Syuhada berkata suaminya juga sempat meluahkan perasaan teruja untuk menyambut kelahiran anak mereka yang kedua yang kini dikandungn­ya selama tujuh bulan.

“Seminggu sebelum dia keluar ke laut, kami sempat membuat imbasan kandungan saya bagi mengetahui jantina anak kami dan turut diberitahu anak kami kemungkina­n besar perempuan.

Saya juga mungkin akan bersalin pada bulan Oktober ini,” katanya. Sementara itu isteri kepada Abdul Wahab iaitu Marizan Ariffin, 37, berkata kebiasaann­ya suaminya akan menghubung­inya dua kali sehari ketika berada di laut untuk bertanya khabar dan berkongsi mengenai aktiviti hariannya.

“Bagaimanap­un pada hari kejadian, dia langsung tidak menghubung­i dan saya hanya menyangka dia sedang sibuk. Biasanya sebelah pagi dan tengah hari kami akan berbual menerusi telefon.

“Setiap kali berbual dia akan berkata dia ingin balik cepat. Saya berharap suami saya dapat ditemui tidak kira sama ada dia hidup atau tidak,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia