Utusan Borneo (Sarawak)

Siasatan kes FIC: Peguam dan pembantu direman lima hari

-

PUTRAJAYA: Seorang peguam dan pembantu wanita direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporatio­n (FIC).

Kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, sekitar jam 4 petang, kelmarin.

Sumber SPRM berkata, peguam berusia 44 tahun itu beroperasi di Kuala Lumpur manakala suspek wanita berusia 29 tahun merupakan pembantu perundanga­n firma undang-undang itu. Mereka disyaki terbabit menguruska­n proses dokumentas­i perjanjian jual beli antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC, katanya.

Perintah reman bermula semalam hingga 8 Ogos itu dikeluarka­n Majistret Muhamad Safuan Azhar yang membenarka­n permohonan SPRM untuk menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Muhamad Safuan memerintah­kan reman bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC disambung selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes sama.

Terdahulu, di mahkamah sama tiga pengarah syarikat yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak pada 2014 dibebaskan semalam dengan jaminan tunai RM20,000 dan jaminan SPRM RM200,000 setiap seorang.

Individu itu ialah pengarah syarikat yang juga pemilik hotel tersebut ditahan di pejabat SPRM Kuching pada jam 1.30 petang Sabtu lalu manakala dua lagi ditahan SPRM pada Ahad merupakan pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruska­n pembelian hotel berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia