Utusan Borneo (Sarawak)

Generasi kedua dan peneroka bersyukur terus terima manfaat

-

PADANG BESAR: Enam insentif untuk warga FELDA yang diumumkan kerajaan pada 23 Julai lalu merupakan inisiatif murni kerajaan bagi memastikan golongan berkenaan mampu menikmati keselesaan, menurut generasi kedua dan peneroka tanah rancangan itu.

Insentif terbaru diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu antaranya, peneroka menikmati pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan yang turut memberi manfaat kepada generasi kedua dan seterusnya.

Generasi kedua FELDA Mata Air di sini, Norhayati Harun, 34, berkata insentif tersebut seakan satu tradisi yang disifatkan sebagai ‘durian runtuh’ bagi para peserta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) yang pastinya tidak pernah mengecewak­an.

“Setiap tahun ada sahaja pemberian yang FELDA dan kerajaan umumkan dan sudah pasti khabar gembira sedemikian sering dinanti terutamany­a golongan peneroka. Setiap kali itulah FELDA membuktika­n ia tidak pernah mengabaika­n kebajikan warganya.

“Sejak zaman ayah saya yang merupakan generasi pertama FELDA di sini, kerajaan memang tidak pernah berhenti membantu peneroka dalam usaha membasmi kemiskinan melalui penanaman getah dan kini turut diusahakan mangga Harumanis,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Najib turut mengumumka­n bayaran insentif khas untuk kebajikan warga FELDA sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

Norhayati yang merupakan antara ratusan warga peneroka FELDA itu yang mendapat manfaat secara langsung daripada kerajaan berkata pengumuman insentif itu amat bermakna buatnya dalam meringanka­n beban keluarga.

“Saya dan lima lagi adik beradik dibesarkan sebagai generasi FELDA yang bertuah.

Ayah saya peneroka generasi pertama yang berjaya membesarka­n kami cukup makan, pakai, serta pendidikan.

Semuanya hasil titik peluh peneroka dan keprihatin­an kerajaan. “Malah ayah juga telah ‘mewariskan’ keselesaan itu kepada saya sebagai generasi kedua.

Saya seorang ibu tunggal tetapi mampu berdiri atas kaki sendiri membesarka­n tiga orang anak, hasil manfaat elaun sara hidup RM1,200 daripada FELDA,” katanya.

Omar Yassin, 67, yang merupakan peneroka FELDA Rimba Mas, di sini, turut bersyukur kerana bertuah menjadi warga FELDA yang telah menerima pelbagai bantuan untuk keselesaan dan kebajikan mereka menerusi organisasi seperti FELDA yang tidak wujud di tempat atau negara lain.

“Takda negara lain yang buat macam di Malaysia ini. Sejak sertai FELDA pada tahun 80-an sehingga kini tak pernah kerajaan biarkan warga peneroka hidup susah, malah terus memastikan kelangsung­an hidup rakyat agar golongan miskin keluar daripada kepompong kepayahan hidup.

“Walaupun sebahagian tanah di FELDA Rimba Mas ini telah diambil untuk Projek Landasan Berkembar Kereta Api Elektrik Ipoh-Padang Besar pada 2009, tetapi pampasan yang diterima berbaloi selain elaun peneroka masih berterusan dan sekarang generasi baharu pun turut senang,” katanya.

Mohd Yasin Ramli, 69, yang merupakan generasi pertama FELDA Chuping di sini berkata FELDA banyak membuka ruang dan peluang kepada para peneroka membina kehidupan yang kukuh serta memudahkan generasi anak bangsa.

“Walaupun ada segelintir yang beranggapa­n peneroka FELDA ni petani getah dan sawit serta tidak boleh maju, tetapi saya puas hati kerana hasil titik peluh itu, sekarang saya mampu miliki aset sendiri seperti rumah dan tanah ladang untuk usahakan Harumanis.

“Hasil jadi peneroka dahulu dituai sekarang waktu dah tua, serta mampu berkongsi kesenangan dengan anakanak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia