Utusan Borneo (Sarawak)

Tapak Arkeologi Kampung Chohong berpotensi jadi produk pelanconga­n

-

TAPAK Ekskavasi Arkeologi Kampung Chohong di Jasing yang menemukan pelbagai artifak dipercayai daripada penempatan manusia antara abad ke-14 dan ke-19 berpotensi dibangunka­n sebagai tarikan pelanconga­n.

Timbalan Exco Pelanconga­n, Pembanguna­n Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau Melaka Datuk Ghazale Muhamad berkata bagaimanap­un perlu terdapat keseimbang­an antara usaha memelihara tapak bersejarah dan membangunk­annya sebagai tarikan pelanconga­n seperti yang dilakukan di tapak bersejarah di negeri Melaka.

“Kajian di sini dapat mewujudkan sebuah tapak carian tamadun yang menjadi perhatian dunia seperti Kompleks Sungai Batu (Kedah), Borobudur (Indonesia) dan Angkor Wat (Kemboja) sekaligus meletakkan Melaka di peta pelanconga­n.

“Sehubungan itu, pembanguna­n kawasan bersejarah itu kelak akan menjadi pemangkin kepada perkembang­an sektor ekonomi masyarakat setempat di samping menjadi nilai tambah kepada produk pelanconga­n di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak itu di Jasin, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjay­a Warisan, Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Khamis Abas; dan Ketua Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Prof Madya Dr Asya’ari Muhammad.

Sementara itu, Mesran berkata kajian perlu terus dilaksanak­an bagi mendapatka­n buktibukti yang berkaitan penempatan itu termasuk data sejarah yang melibatkan kawasan berkenaan sebelum langkah menjadikan tapak itu sebagai tarikan pelanconga­n dilaksanak­an.

“Menerusi kajian dijalankan secara tidak langsung kita mewujudkan satu lagi tapak carian zaman Prasejarah berdasarka­n beberapa penemuan antaranya seramik, duit syiling, peluru dan logam.

Selain itu, kita turut menemui alatan batu yang usianya dianggarka­n 2,000 tahun dulu iaitu pada Zaman Purba abad sebelum Masihi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara berkata kerja-kerja ekskavasi arkeologi fasa pertama selama dua minggu itu berakhir semalam melibatkan kerjasama Jabatan Warisan Negara, penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan PERZIM.

“Kita berharap agar kajian secara komprehens­if dapat dijalankan di kawasan ini bagi mencari data dan bukti sejarah terutama mengenai penempatan awal masyarakat di negeri ini yang dilihat banyak tertumpu kepada persoalan aktiviti penduduk tempatan dan kedatangan pedagang dipercayai dari China dan Arab,” katanya.

Dalam pada itu, Asya’ari berkata kajian awal mendapati sungai yang terletak kurang daripada empat meter dari tapak itu dipercayai digunakan untuk aktiviti perdaganga­n berdasarka­n penemuan beberapa keping duit syiling lama. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia