Utusan Borneo (Sarawak)

Lebihan dagangan meluas kepada RM9.88 bilion

Eksport meningkat 10 peratus dan terus mengatasi import

-

KUALA LUMPUR: Pertumbuha­n eksport Malaysia terus mengatasi import, dengan lebihan dagangan sebanyak RM9.88 bilion pada Jun 2017, menjadikan lebihan dagangan 236 bulan berturut- turut sejak November 1997, dan tertinggi sejak April 2016.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) berkata eksport pada Jun 2017 menunjukka­n pertumbuha­n tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import, bagi bulan kedua berturut-turut.

“Eksport berkembang 10 peratus kepada RM73.07 bilion manakala import meningkat 3.7 peratus kepada RM63.19 bilion.

Lebihan dagangan pada Jun, sebanyak RM9.88 bilion, dan merupakan nilai tertinggi dari segi lebihan dagangan sejak April 2016,” kata MITI.

Kementeria­n itu berkata jumlah dagangan Malaysia bagi bulan itu meningkat 7.0 peratus kepada RM136.26 bilion berbanding RM127.38 bilion yang dicatatkan pada Jun 2016.

Peningkata­n ini disokong terutama oleh dagangan dengan China, India, Jepun, Kesatuan Eropah, ASEAN, Amerika Syarikat, Taiwan dan Korea Selatan.

MITI bagaimanap­un berkata jumlah dagangan, eksport dan import rendah, masing- masing sebanyak 11.1 peratus, 8.0 peratus dan 14.5 peratus berbanding Mei 2017.

Eksport barangan perkilanga­n bagi Jun 2017 meningkat 7.4 peratus kepada RM59.63 bilion dan menyumbang 81.6 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.

Ini didorong oleh peningkata­n eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk besi dan keluli, produk getah, serta kelengkapa­n pengang- kutan, kata MITI.

Eksport barangan perlombong­an pada Jun 2017 menyumbang 9.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, meningkat berbanding 7.3 peratus pada Jun 2016.

“Eksport barangan perlombong­an berkembang 40.3 peratus kepada RM6.77 bilion, peningkata­n bagi bulan keenam berturut-turut dengan eksport barangan perlombong­an mencatat pertumbuha­n dua angka tahun ke tahun.

Pertumbuha­n eksport yang lebih tinggi ini didorong oleh peningkata­n eksport gas asli cecair (LNG), disokong oleh nilai unit purata (AUV) serta volum,” kata MITI.

Eksport barangan pertanian juga meningkat 7.7 peratus kepada RM5.97 bilion dan menyumbang 8.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Ini didorong oleh eksport minyak kelapa sawit dan produk kelapa sawit yang lebih tinggi, dengan minyak sawit menyumbang AUV dan volum yang lebih besar.

MITI berkata eksport utama pada Jun 2017 membabitka­n produk E&E bernilai RM27.96 bilion, yang menyumbang 38.3 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 15.1 peratus mulai Jun 2016, diikuti bahan kimia dan kimia, RM5.16 bilion (7.1 peratus daripada jumlah eksport), meningkat 4.5 peratus, produk petroleum, RM4.69 bilion, (6.4 peratus daripada jumlah eksport), merosot sebanyak 9.5 peratus.

Produk pertanian kelapa sawit dan berasaskan kelapa sawit sebanyak RM4.25 bilion, ( 5.8 peratus daripada jumlah eksport), meningkat 16 peratus manakala LNG, RM3.98 bilion ( 5.4 peratus daripada jumlah eksport), meningkat sebanyak 97.3 peratus. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia