Utusan Borneo (Sarawak)

Pustaka beri nilai tambah program, aktiviti dalam Karnival Sarawakian­a

-

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan terus memberi nilai tambah kepada program dan aktiviti yang dijalankan dalam penganjura­n Karnival Sarawakian­a.

Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Rashidah Bolhassan berkata ia sejajar dengan objektif karnival untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentinga­n warisan budaya tempatan dari segi sejarah, budaya, seni, pengetahua­n peribumi dan kepelbagai­an etnik dalam membentuk masa depan generasi akan datang.

“Pustaka akan terus memperkena­lkan sesuatu pengetahua­n yang baharu kepada masyarakat di Sarawak terutama kepada golongan pelajar dan belia yang boleh menjadi pemangkin untuk meneruskan tradisi dan budaya warisan tempatan yang kaya dengan nilai- nilai teras kaum peribumi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguha­n Karnival Sarawakian­a 2017 yang disem- purnakan Ahli Lembaga Pustaka Negeri Sarawak Dr Abdul Rahman Deen di Pustaka Negeri Sarawak di sini, semalam.

Menurut Rashidah, Karnival Sarawakian­a adalah program dan aktiviti dwitahunan yang dianjurkan oleh Pustaka dalam bentuk karnival bagi menonjolka­n warisan budaya tempatan Sarawak.

Katanya dalam karnival yang berlangsun­g selama tiga hari dari 3 hingga 6 Ogos lalu, pelbagai program dan aktiviti menarik yang menjurus kepada warisan budaya tempatan Sarawak telah dijalankan.

Antaranya seperti pertanding­an hadrah, permainan ‘Mensia Marek’, pameran lagu rakyat Sarawak, warisan kesenian Melayu Sarawak termasuk peranan dan signifikan pantun Iban, pameran dan jualan kraf tangan serta makanan tradisiona­l Sarawak, demonstras­i masakan tradisiona­l Sarawak dan bengkel pratuong (alat muzik tradisiona­l Bidayuh).

Beliau menambah, kemuncak karnival adalah persembaha­n pentas Sarawakian­a yang telah diadakan pada malam 5 Ogos lalu di Dataran Pustaka Negeri Sarawak dengan menampilka­n Pentas Bangsawan: Sarawak Ku oleh PerfilemS, nyanyian lagu asli Sarawak dan moden oleh penyanyi dan kumpulan penyanyi tempatan seperti Stanley AF6, Ila Damia, kumpulan D'Carma T.K, Belioo Buskers dan persembaha­n bermukun oleh kumpulan Sri Kenyalang Tiga.

“Penganjura­n Karnival Sarawakian­a bukan untuk hiburan semata-mata, tetapi tujuan utamanya adalah bagi memupuk kesedaran dan kecintaan terhadap budaya warisan tempatan dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Dalam pada itu, paling utama bagi pihak Pustaka Negeri Sarawak adalah untuk mendokumen­tasikan semua program dan aktiviti yang dianjurkan untuk dipelihara sebagai khazanah warisan Sarawak agar ilmu tersebut terus berkekalan dan dapat digunakan generasi akan datang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia