Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki samun kedai serbaneka 24 jam ditahan

-

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang dipercayai aktif menjalanka­n kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ditahan polis di Jalan Aston di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira- kira jam 10 malam ketika sedang menunggang motosikal dan dipercayai dia sedang memantau kedai serbaneka di kawasan berkenaan untuk menyamun.

“Polis yang membuat rondaan di kawasan itu ternampak lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigak­an dan menahannya.

Pemeriksaa­n mendapati motosikal yang digunakan suspek juga dipercayai dicuri kerana menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu.

“Lelaki itu turut mengaku terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah SPT dan modus operandiny­a adalah membuat pemantauan terlebih dahulu sebelum menyamun kedai pada sebelah malam, sasarannya juga kedai yang dijaga pekerja wanita,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, Nik Ros Azhan berkata polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan sedang mengesan rakannya kerana terlibat kes pecah cermin kenderaan sebelum menyamun dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya di sini awal pagi kelmarin.

Katanya, dalam operasi jam 5.30 pagi, polis menahan dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang sedang berlegar-legar di kawasan itu dipercayai sedang mencari mangsa untuk disamun.

“Ketika sedang tahan mereka berlaku pergelutan dan rakan kepada suspek berjaya melarikan diri.

Pemeriksaa­n mendapati lelaki yang ditahan itu mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan dia bersama rakannya dipercayai terlibat kes pecah cermin kenderaan dan samun sejak beberapa bulan lepas di SPT, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas pelbagai kad bank dan sepana berbentuk T yang diasah tajam pada hujungnya dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan bersama lelaki yang tidak bekerja itu.

“Suspek dan rakannya dipercayai terlibat lebih 10 kes pecah cermin kereta, samun di SPT dan banyak lagi kes di daerah lain. Mereka menjalanka­n kegiatan jenayah pada tengah malam hingga awal pagi dan sasarannya adalah wanita,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia