Utusan Borneo (Sarawak)

APM komited mahu tambah penyertaan penjawat awam

-

SINTOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) komited mahu menarik lebih ramai penyertaan penjawat awam untuk menjadi sukarelawa­n dalam usaha menambah lagi kekuatan pasukan itu yang kini mempunyai 1.4 juta anggota di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata usaha itu bagi memastikan pasukan berkenaan lebih mantap dan dalam keadaan bersiap sedia terutamany­a ketika berhadapan dengan bencana alam seperti banjir yang biasanya berlaku dalam tempoh Oktober hingga Februari.

“Ketika ini, APM melalui pegawai kanannya sedang menunggu untuk masuk ke jabatan-jabatan kerajaan (untuk mendaftark­an sukarelawa­n), tapi kita mempunyai sedikit kekangan dari aspek ‘manpower’.

“Namun setelah itu kita akan melantik pegawai untuk menguruska­n pendaftara­n mereka ( penjawat awam) dan seterusnya menyusun atur strategi bagi menghadapi bencana,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shahidan berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pentauliah­an Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan kali ke-8 di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjay­a APM Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya dan Komandan Kor Sispa UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Keselamata­n Negara (MKN) berkata, dalam tempoh beberapa bulan sahaja, APM berjaya menambah keanggotaa­n baharu lebih 400,000 orang dan yakin mampu mencapai sasaran dua juta anggota sehingga hujung tahun ini dan tiga juta pada tahun hadapan.

“Kita mempunyai anggota yang paling ramai, iaitu yang kedua selepas Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA), untuk itu kita turut menyaranka­n sukarelawa­n daripada badan kebajikan ataupun agama untuk samasama menyertai APM bagi membolehka­n mereka dilatih dengan ilmu menyelamat,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap beliau mencadangk­an agar nama Kor Sispa diubah kepada Kor Siswa APM bagi membolehka­n identiti pasukan itu lebih mudah dikenali orang ramai.

“Penyertaan penuntut universiti dalam APM merupakan satu langkah dalam melatih mereka untuk menjadi seorang pegawai ataupun anggota APM yang mempunyai pelbagai ilmu berkaitan bencana alam, kecemasan dan boleh digunakan pada masa- masa tertentu,” katanya.

Seramai 660 pegawai Kor Sispa daripada institut pengajian tinggi awam di seluruh negara ditauliahk­an pangkat Leftenan Muda (PA) pada majlis itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia