Utusan Borneo (Sarawak)

Trippier akan terlepas musim permulaan EPL

-

LONDON: Pemain pertahanan Tottenham Hotspur Kieran Trippier dijangka tidak akan bermain pada permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah dia mengalami kecederaan buku lali dalam kemenangan 2-0 ke atas Juventus kelmarin.

Trippier berjalan dengan tempang ketika dia dikeluarka­n pada hujung babak pertama di Wembley setelah pemain pertahanan kanan itu mengalami dua pertembung­an yang kuat dengan pemain pertahanan Juventus, Alex Sandro.

Pemain antarabang­sa England berusia 26 tahun itu kemudian kelihatan menggunaka­n tongkat sambil memakai but pelindunga­n.

“Kami harap ia bukan isu yang besar. Ia adalah buku lalinya,” kata pengurus Tottenham Mauricio Pochettino.

“Dia lebih baik sekarang berbanding ketika pada waktu rehat tetapi kita mesti tunggu.”

Jika kecederaan Trippier ternyata serius, ia adalah tamparan yang serius bagi Pochettino, yang menjual pemain pertahanan kanan pilihan utamanya sebelum ini Kyle Walker kepada Manchester City sewaktu musim percutian.

Tottenham memulakan kempen mereka dalam EPL di Newcastle United pada 13 Ogos dan Kyle Walker-Peters, seorang pemain berusia 20 tahun yang tidak pernah bermain dalam liga utama, dijangka akan diturunkan selepas dia dimasukkan untuk menggantik­an Trippier.

Pemain tengah Spurs, Eric Dier, juga pernah mengisi posisi pertahanan kanan pada masa lalu.

Lutut Trippier disepak oleh Sandro pada awal perlawanan, tetapi terus bermain dan memberi hantaran yang menghasilk­an gol tandukan Harry Kane pada minit ke-10.

Satu lagi pertembung­an yang kuat dengan Sandro memaksa Tripper untuk dikeluarka­n dengan buku lali yang terseliuh pada minit ke-41.

Christian Eriksen menjaringk­an gol kedua Tottenham pada minit ke-52 apabila dia mengejar hantaran Dele Ali, mengelak penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon dan menolak bola ke dalam gawang. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia