Utusan Borneo (Sarawak)

Bangunan lama tarikan pelancong ke Kuching

Projek ubah suai bangunan lama bersejarah kepada tempat makan, penginapan jadi trend di bandar raya ini

- Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Projek ubah suai bangunan lama bersejarah kepada tempat makan dan penginapan menjadi trend di bandar raya ini pada masa kini sebagai salah satu daripada tarikan pelancong.

Ketua Menteri Datuk Amar AbangJohar­iTunAbangO­peng berkata, usaha ini bukan sahaja memelihara warisan sejarah di bandar raya ini tetapi pada masa yang sama memberi manfaat ekonomi kepada pemiliknya.

“Saya harus berterima kasih kepada usahawan-usahawan yang telah cuba memberi nafas baharu dan tujuan baharu kepada bangunan-bangunan lama seperti Marian Boutique Lodging House hari ini.

“Saya faham untuk mengubah suai bangunan seperti ini menelan kos yang tinggi dan ini merupakan satu langkah berani oleh pengurusan Marian Boutique Lodging House sejajar dengan agenda kerajaan untuk meningkatk­an status industri pelanconga­n di bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya sempena perasmian pembukaan Marian Boutique Lodging House yang terletak di Wayang Street di sini semalam.

Teks ucapan Abang Johari dibacakan oleh Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tambah Abang Johari, kejayaan projek yang sama seperti mengubah pekan Siniawan menjadi tempat makan memberi keyakinan bahawa projek seperti itu berpotensi untuk berjaya.

“Hotel sahaja tidak dapat membawa pelancong dan perlu ada tarikan lain untuk membuatkan orang cinta dan mahu datang ke Kuching ini.

“Saya yakin kita tidak kekurangan tempat menarik seperti Muzium Sarawak lama yang ditambah kepada Kampus Muzium Sarawak dan banyak lagi tempat menarik lain,” katanya.

Sementara itu Karim dalam ucapannya berharap lebih ramai penggiat industri akan melakukan usaha yang sama mengubah suai bangunan lama menjadi tempat tarikan pelancong.

Sehubungan itu beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri bagaimana kerajaan dapat membantu para usahawan memelihara bangunan lama bersejarah kepada tarikan baharu.

Rumah penginapan ini telah dibuka pada 15 Mei lepas dan dalam tempoh kurang daripada dua bulan telah disenaraik­an sebagai 23 daripada 55 hotel di Kuching oleh Trip Advisor.

Bangunan ini pernah menjadi rumah asrama bagi St Mary pada 1933 sebelum diambil alih oleh Diocesan Centre sebagai rumah tetamu pada 1968 hingga kerja-kerja pengubahsu­ian kepada Marian Boutique Lodging House pada 2013.

Turut hadir Bishop Anglikan Kuching Datuk Bolly Lapok, Timbalan Speaker DUN Datu Gerawat Gala, Menteri Muda Belia dan Sukan Snowdan Lawan, Pengarah Marian Boutique Lodging House Rosemarie Wong, Datin Zuraini Abdul Jabbar serta yang lain.

Saya harus berterima kasih kepada usahawan-usahawan yang telah cuba memberi nafas baharu dan tujuan baharu kepada bangunan-bangunan lama seperti Marian Boutique Lodging House hari ini. Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri

 ??  ?? SIMBOLIK: Karim (tiga kanan) membunyika­n loceng sebagai simbolik perasmian pembukaan Marian Boutique Lodging House di Kuching semalam. Turut kelihatan Gerawat (kiri), Rosemarie, Zuraini, Bolly dan Snowdan.
SIMBOLIK: Karim (tiga kanan) membunyika­n loceng sebagai simbolik perasmian pembukaan Marian Boutique Lodging House di Kuching semalam. Turut kelihatan Gerawat (kiri), Rosemarie, Zuraini, Bolly dan Snowdan.
 ??  ?? UNTUK ALBUM: Julaihi (berdiri depan, empat kanan) merakam kenangan bersama para tetamu jemputan dan peserta OREP di Sebuyau, baru-baru ini.
UNTUK ALBUM: Julaihi (berdiri depan, empat kanan) merakam kenangan bersama para tetamu jemputan dan peserta OREP di Sebuyau, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia