Utusan Borneo (Sarawak)

SUPP yakin kerusi Parlimen Lanang diagih kepada parti itu

-

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yakin bahawa kerusi Parlimen Lanang akan diagihkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Lanang Chieng Buong Toon berkata ini kerana SUPP mempunyai rekod baik berkhidmat serta menyalurka­n projek-projek kecil kepada penduduk luar bandar mahupun kawasan bandar di konstituen­si tersebut.

“SUPP banyak membantu penduduk di kawasan Parlimen Lanang tidak kira di luar bandar mahupun bandar.

“Kita telah lama turun padang sebelum ini dan hampir semua kawasan Lanang dilawati menerusi calon berpotensi SUPP bagi kerusi Parlimen Lanang.

“Tiada parti lain menunjukka­n komitmen seperti SUPP yang ikhlas berkhidmat serta bersungguh-sungguh membantu menyele- saikan masalah rakyat,” katanya pada Majlis Jalinan Mesra Bersama BN (SUPP) di Rumah Joseph Jugah, Nanga Salim di sini, malam kelmarin.

Hadir sama dua calon berpotensi SUPP kerusi Parlimen Lanang Kelvin Kong dan Kaunselor Joseph Chieng, Pengerusi Unit Bumiputera SUPP Dudong Kaunselor Ladong Engkol, Kaunselor Frederick Taip Ledom dan Tuai Rumah Joseph.

Majlis dianjurkan SUPP Bukit Assek itu turut membolehka­n Chieng serta tetamu lain bersama merasmikan projek meninggika­n kawasan halaman Rumah Joseph.

Rumah panjang tersebut sering dilanda banjir apabila berlaku fenomena air pasang besar dan SUPP telah meluluskan projek meninggika­n kawasan tersebut.

Chieng yang juga pengerusi SUPP Bukit Assek memberitah­u bahawa PRU14 adalah sangat penting bagi parti itu merampas semula kerusi Parlimen Lanang.

Jelasnya, Parlimen Lanang yang jatuh kepada pembangkan­g lima tahun lalu membuatkan pendudukny­a kerugian serta ketinggala­n dari segi pembanguna­n.

“Justeru, kita minta penduduk di Sungai Salim memberi sokongan padu kepada calon SUPP demi pembanguna­n berterusan sekali gus suara kita akan dapat didengar di peringkat Parlimen,” jelasnya.

Sementara itu, Kelvin turut meluahkan keyakinan SUPP diberi kerusi Parlimen Lanang pada PRU14 akan datang.

Katanya, SUPP kini berwajah baharu di bawah pimpinan Datuk Dr Sim Kui Hian yang sudah pasti mempunyai revolusi bagi melonjakka­n semula nama parti.

“Kita pasti dapat bangkit seandainya rakyat di Lanang memberi mandat penuh kepada kami pada PRU14 nanti,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia