Utusan Borneo (Sarawak)

Masa untuk fokus akses dalam sektor telekomuni­kasi: Jailani

-

KUALA LUMPUR: Negara anggota Telekomuni­ti Asia Pasifik ( APT) kini lebih perlu memberi fokus terhadap kualiti dari segi capaian dan pengalaman pengguna dalam sektor telekomuni­kasi, bukan lagi mengenai penyediaan akses.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata langkah itu akan membantu transforma­si ke arah ekonomi digital, dengan memberi penekanan utama terhadap memanfaatk­an ketersambu­ngan berkelajua­n tinggi.

Berucap pada Mesyuarat Keempat Kumpulan Persediaan Telekomuni­ti Asia Pasifik bagi Persidanga­n Pembanguna­n Telekomuni­kasi Sedunia (WTDC-17) di sini semalam, beliau berkata oleh kerana inovasi dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat ( ICT) kini lebih menjadi pilihan dalam bidang perniagaan dan pengembara­an, maka negara Asia Pasifik perlu meningkatk­an keupayaan- nya dan terus meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital.

“Saya ingin menggesa para penggubal dasar dan pengawal selia ICT, yang mempunyai peranan penting dalam kolaborasi rentas sektoral dengan sektor lain supaya meruntuhka­n tembok yang tidak lagi relevan dan sebaliknya menjadi pemudah cara ke arah pembanguna­n sosiopolit­ik dan pertumbuha­n ekonomi,” katanya.

Jailani berkata negara anggota APT juga perlu mengambil langkah yang diperlukan bagi menangani masalah keselamata­n siber melalui pendekatan menegak dan lintas sektoral.

“ICT memiliki kelebihan dan kelemahan. Tanpa ICT, kita akan ketinggala­n, tetapi apabila ICT diperkenal­kan dan dilaksanak­an, kita terdedah kepada pelbagai masalah siber yang sentiasa berubah,” katanya.

Sehingga April 2017, jumlah serangan siber menggunaka­n perisian tebusan, yang lebih dikenali sebagai ransomware, meningkat kepada 50 peratus dan menurut laporan, serangan ransomware pada 2016 mengakibat­kan kerugian berjumlah kira-kira AS$1 bilion.

Pada Mei tahun ini, ransomware dikenali sebagai WannaCry melumpuhka­n banyak institusi dan perniagaan penting berikutan kekurangan kesedaran dalam kalangan orang ramai dan entiti persendiri­an tentang kepentinga­n menangani keselamata­n siber.

Mesyuarat semalam merupakan yang terakhir dalam siri mesyuarat Kumpulan Persediaan APT dan peserta dijangka menumpukan perbincang­an tentang perkembang­an dalam bidang ICT serta projek dan program yang akan memberi manfaat kepada negara anggota.

Hasil mesyuarat ini akan dibawa ke WTDC-17, yang dijadual berlangsun­g pada Oktober tahun ini di Buenos Aires, Argentina. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia